Pendakian cenuram Gunung Huashan




TERLETAK kira-kira 120 kilometer dari timur Bandar Xian di Wilayah Shaanxi, Gunung Huashan merupakan satu antara lima pergunungan yang dianggap suci oleh rakyat di negara China.

Pemandangan alam yang indah di puncak gunung yang menempatkan sebuah kuil purba, Taoist merupakan antara tarikan pelancong yang berkunjung ke situ.

Dikenali sebagai Gunung Curam Pertama Di Bawah Syurga, Huashan terkenal dengan laluan pendakian yang berbahaya di dunia. Jika mahukan cabaran, gunung itu merupakan lokasi terbaik kerana mempunyai banyak laluan cenuram.

Golongan remaja merupakan golongan yang paling banyak kelihatan di gunung itu bagi mengasah kemahiran mendaki cenuram. Tanpa disedari, maut sedang menanti sekiranya tidak berhati-hati dan membuat persediaan yang rapi sebelum melakukan ekspedisi.

Dianggarkan 100 kemalangan maut berlaku membabitkan pendaki berlaku setiap tahun. Bagaimanapun, masyarakat tempatan menyatakan tiada rekod rasmi yang membuktikan insiden itu.

Gunung Huashan mempunyai lima puncak yang membentuk seperti sekuntum bunga jika dilihat daripada sudut yang berbeza. Kesemua puncak itu mempunyai nama tersendiri iaitu puncak di timur dikenali sebagai puncak matahari, puncak tengah (Puncak Jade Maiden), puncak barat (Puncak Lotus) dan puncak utara (Puncak Cloud Terrace). Puncak selatan merupakan puncak yang tertinggi dan paling bahaya di gunung itu.

Namun, sekiranya mempunyai kemahiran dan keberanian pasti dapat menawan puncak selatan. Usaha gigih anda tentu berbaloi kerana dapat melihat pemandangan indah yang meliputi keseluruhan gunung.


CENURAM tinggi bukan penghalang untuk pendaki menakluki puncak Gunung Huashan.


Digeruni

Changong Zhandao merupakan kawasan yang digeruni oleh setiap pendaki di gunung Huashan. Ia merupakan laluan papan 91 sentimeter (cm) panjang dan 30cm lebar di tebing yang curam dan menegak. Sekiranya tersilap langkah, tidak mustahil anda akan jatuh ke dasar gaung.

Terdapat rantaian di tebing-tebing gunung untuk para pendaki. Mereka hanya perlu menggunakan abah-abah dan tali untuk disangkut pada rantaian itu sebagai langkah keselamatan. Selain itu, batu-batuan yang terdapat di sekitar tebing membantu memberi sokongan kepada pendaki.

Kawasan curam itu secara praktikalnya sukar untuk didaki walaupun mempunyai tangga-tangga. Sekiranya tergelincir, pendaki lain yang berada di belakang juga menerima padahnya kerana tangganya sempit.

Laporan baru-baru ini menyatakan bahawa pihak berkuasa China telah membuat kata sepakat untuk menambah baik laluan pendaki di gunung Huashan terutamanya daripada aspek keselamatan. Ini kerana pihak berkuasa sedar bahaya pendakian di gunung itu tanpa pengawasan keselamatan. Keadaan cuaca buruk juga merupakan salah satu kesukaran yang sering dihadapi oleh pendaki.

Menaiki kereta kabel merupakan satu keputusan yang baik kepada anda yang mengutamakan keselamatan untuk ke puncak gunung Huashan. Dengan menaiki kereta kabel ke puncak utara, anda pasti dapat melihat pemandangan yang menarik menerusi puncak itu tanpa perlu mengharungi laluan yang berbahaya.