Kor Kadet IPK Pulau Pinang sertai perkhemahan


ABDUL RAHIM (tengah) mendukung salah seorang peserta Perbarisan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-43 Kontinjen Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.


BERKUMPUL. Sebanyak 580 ahli Kor Kadet Polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang berkumpul dalam satu perkhemahan sempena Perbarisan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-43 peringkat negeri yang diadakan di Pusat Ko-kurikulum Negeri, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Pada perkhemahan selama empat hari yang berakhir pada 21 Mei lalu, platun dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah telah dinobatkan sebagai platun terbaik bagi kedua-dua kategori putera dan puteri.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi yang hadir pada majlis penutup program itu berkata, kewujudan pasukan Kor Kadet Polis di sekolah-sekolah bukan sahaja mampu meningkatkan disiplin pelajar tetapi turut mampu mengelak golongan itu daripada terjerumus dalam kegiatan jenayah juvana.