Adam Adli dihadap ke mahkamah kerana menghasut


ADAM ADLI (tengah) diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR Pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada minggu lepas.

Adam Adli, 25, didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang dengan cara tidak sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam 13 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding, Adam Adli yang berada di dalam kandang tertuduh tanpa digari kelihatan tenang.

Ketika memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebelum perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd. Abbas menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.