Kem bola sepak profesional


RAJAGOPAL (dua dari kiri) bersama pihak pengurusan Johnson & Johnson pada majlis pelancaran kempen Jom Main Bola di ibu negara baru-baru ini.


PADA musim cuti sekolah, kanak-kanak pada zaman ini akan lebih tertumpu kepada aktiviti yang tidak memerlukan pergerakan fizikal. Bermain komputer, permainan dalam telefon, menonton televisyen atau sekadar berehat di rumah menjadi pilihan.

Bilangan kanak-kanak yang membabitkan diri dalam aktiviti fizikal seperti bersukan tidak begitu ramai. Selain ia tidak menjadi trend dalam kalangan mereka, ketiadaan saluran yang betul untuk membimbing mereka juga antara puncanya.

Di samping itu, kekangan ibu bapa itu sendiri untuk menghindari anak-anak daripada terdedah kepada cuaca panas kerana takut memberi impak tidak baik kepada kulit dan diri mereka.

Ibu bapa juga terlalu mementingkan pelajaran hingga menyukarkan anak-anak untuk bergaul dan bermain bersama rakan-rakan sebaya.

Menurut jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal, pendedahan kanak-kanak dalam bidang sukan akan memberi impak yang mendalam kepada keseluruhan pembangunan fizikal dan mental mereka.

"Bersukan boleh membantu kanak-kanak dalam pelbagai aspek, antaranya, pengurusan berat badan yang sihat, membina jantung, otot dan tulang yang kuat. Selain itu, ia turut membantu membangunkan kemahiran motor asas, meningkatkan keyakinan diri, mengukuhkan interaksi sosial, kemahiran berpasukan dan emosi," katanya.


RANGKAIAN produk Johnson's Baby Cooling sesuai bagi menangani masalah ketidakselesaan dek cuaca panas dan berpeluh selepas bersukan.


Tambah beliau, dari segi akademik, aktiviti kesukanan dan fizikal juga turut membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran pembelajaran dan menjadi lebih fokus.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kempen Jom Main Bola 2013 anjuran Johnson & Johnson yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Sumber Manusia Johnson & Johnson Consumer Malaysia dan Singapura, Sharon Foo berkata, kempen tersebut seiring dengan penajaan global Johnson & Johnson iaitu yang menaja Pertandingan Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil.

"Salah satu aktiviti utama kempen ini ialah Jom Main Bola yang dianjurkan secara eksklusif untuk kanak-kanak berusia empat hingga sembilan tahun. Kem dua hari ini akan diadakan di Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur dan diketuai jurulatih berpengalaman dan profesional," kata Sharon.

Tambahnya, kem tersebut memberikan kanak-kanak satu pengalaman bermain bola sepak secara profesional.

"Peluang bersukan seperti ini baik untuk kesihatan badan. Bagaimanapun, jika peluh dibiarkan kering di kulit, ia boleh menyebabkan masalah ruam.

"Justeru, rangkaian Johnson's Baby Cooling yang terdapat dalam bentuk mandian dan bedak merupakan pilihan bijak kerana ia mampu menyegarkan badan," ujarnya.

Mereka yang berminat menyertai kem Jom Main Bola, boleh berbuat demikian dengan membeli produk Johnson's bernilai RM50 ke atas.

Penyertaan dalam kem bola sepak berkenaan terhad kepada 200 kanak-kanak pertama. Maklumat lanjut mengenai cara mendaftar boleh diperoleh dengan melayari laman web, www.facebook.com/iLoveJohnsonsbaby.com. - NIZHA PERIASWAMY