Kia Soul 2013: Jelmaan Track'ster Concept


SOUL mempunyai imej tersendiri, funky dan segar yang membolehkannya dicam secara serta-merta.


KADANG-kadang kita ada terlepas pandang tentang sesuatu perkara. Mungkin sebab kita pandang remeh, tidak berfikir secara mendalam atau langsung tidak terlintas dalam fikiran.

Perkara ini terjadi kepada saya apabila mendapat berita atau membaca tentang Kia Soul. Nama model tersebut dibaca tanpa rasa apa-apa, berkali-kali dalam tempoh yang agak lama hinggalah saya tersedar bahawa sebutan Soul adalah sama seperti Seoul, Korea Selatan.

Baru-baru ini di New York, Amerika Syarikat (AS), Kia memperkenalkan model Soul serba baharu.

Soul dibangunkan di atas chasis baharu yang lebih tegar, panjang dan lebar. Ini sekali gus menjadikannya lebih besar untuk penumpang dan ruang bagasi. Sementara bunyi, gegaran dan kekasaran turut dikurangkan.

Menghormati pelanggan Soul yang unik, Kia memperkenalkan tiga varian kemasan untuk pasaran AS iaitu Base, Plus dan Exclaim.

“Apabila Soul pertama kali diperkenalkan pada tahun 2009, kami di Kia percaya bahawa kami telah berjaya menghasilkan sesuatu yang popular. Tetapi apa yang kami tidak tahu ialah sejauh mana populariti tersebut akan berkembang.

“Soul telah merubah perspektif jualan dan pemasaran, sebelum menjadi antara model jualan terlaris Kia di AS. Maka, adalah penting untuk Soul baharu ini kekal menggunakan formula yang berjaya iaitu reka bentuk ikonik, selain menyuntiknya dengan dinamik pemanduan yang ditambah baik serta ciri-ciri yang meningkatkan keterampilan, sofistikated dan nilai,” kata Naib Presiden Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi, Kia Motors America (KMA), Michael Sprague.

Mengekalkan ciri-ciri yang membuatkan Soul istimewa dan menambah baik apa yang perlu bukanlah tugas mudah. Semasa pasukan pereka sibuk di studio Kia di California, jurutera di AS dan Korea pula fokus untuk menjadikan Soul seronok dipandu.

Memetik laporan agensi berita Newspress, model baharu Soul dibangun berdasarkan kepada tiga fokus iaitu reka bentuk ikonik dengan pengaruh moden, ciri-ciri premium dan menambah baik dinamik pemanduan untuk membuatkan ia lebih menarik.

Kia dikenali dengan model konsep yang mirip dengan model produksi. Jadi, pasaran boleh mengagak reka bentuk model baharu Kia yang tidak lari jauh dengan model konsep dan Soul tidak terkecuali.


RUANG kabin Soul yang luas dan ergonomik.


Kerangka lebih kukuh

Dengan model konsep Track’ster yang diperkenalkan pada 2012, Kia mendapat maklum balas untuk menterjemahkan model itu kepada realiti. Dengan tempoh 18 bulan antara penetapan reka bentuk dan produksi, pasaran boleh menjamah model baharu itu yang banyak mempunyai pengaruh gayaan model konsep Track’ster.

Ketua Pereka studio Kia di California, Tom Kearns mengatakan yang Track'ster banyak dipengaruhi oleh anjing bulldog. Malah, tema tersebut dizahirkan kepada hampir semua sudut Soul baharu.

“Soul baharu sebenarnya merupakan antara tugasan yang paling sukar kami lakukan. Menghasilkan model dengan kombinasi reka bentuk sedia ada dengan suntikan elemen Track'ster sememangnya satu tugas yang mencabar.

“Model ini dibina hasil bimbingan Peter Schreyer di Frankfurt dan bantuan daripada studio kami di Korea. Hasilnya kami berjaya mengekalkan nilai asal Soul. Pada masa yang sama mengadun elemen baharu pada bahagian luar dan dalam kereta,” kata Kearns.

Badan baharu Soul sebenarnya lebih kukuh iaitu peningkatan 28.7 peratus ketegaran kilasan (torsional rigidity). Jurutera telah menguatkan chasis pada poin sambungan sepanjang dinding enjin (cowl), bahagian atas dan bawah tiang B, cross member dan tiang C.

Secara keseluruhannya, 66 peratus chasis menggunakan Ultra High Strength Steel (35 peratus) dan High Strength Steel (31 peratus). Tiang A kini 20mm lebih nipis seterusnya memperbaiki tahap penglihatan ke luar, saiz yang berkurangan tersebut ditebus dengan penggunaan Ultra High Strength Steel yang lebih ringan dan kuat.


SOUL baharu dihasilkan dalam tempoh 18 bulan.


Penambahbaikan juga dibuat pada aspek pemanduan serta pengendalian melalui talaan semula suspensi depan dan belakang. Palang penstabil dialih ke belakang pada bahagian suspensi depan. Sementara kotak stereng pula dianjak ke depan supaya lebih seimbang, seterusnya memperbaiki tahap pengendalian.

Kuasa untuk varian Base dihantar oleh enjin aluminium 1.6 liter Gamma Gasoline Direct Injection (GDi) berkuasa 130hp. Varian Plus dan Exclaim pula menggunakan enjin 2.0 liter Nu GDi berkuasa 164hp.

Kedua-dua opsyen enjin tersebut telah ditala semula untuk memberikan lebih kuasa tork pada rpm rendah. Peningkatan sembilan peratus bagi model 2.0 liter dan lima peratus untuk model 1.6 liter bagi memperbaiki prestasi pemanduan bandar.

Enjin 1.6 liter dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual atau automatik. Varian Plus pula mungkin akan dipadankan di antara kedua transmisi tersebut, manakala varian Exclaim hanya ditawarkan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Jika anda perasan, kereta buatan Korea mempunyai beberapa model yang mengambil nama tempat seperti Hyundai Tucson dan Hyundai Santa Fe.

Jadi tidak hairanlah jika Kia menggunakan nama Soul untuk model ini. Pilihan nama tersebut merupakan suatu yang pintar kerana ia turut mengangkat nama ibu kota Korea Selatan itu di mata dunia.

Tahukah anda bahawa tayar Astar keluaran Sime Tyres berasal daripada perkataan Alor Setar? Nama tersebut diambil sempena lokasi kilang produksi tayar yang kini dimiliki oleh Continental AG.