Siri terbaharu Heart of The Swarm

PEMAIN yang pernah menghabiskan permainan Star Craft II: Wings of Liberty pasti tidak melepaskan peluang untuk bermain siri kedua dalam trilogi Star Craft II iaitu Heart of The Swarm (HOTS).

Segelintir pemain berpendapat, pembikin francais Star Craft; Blizzard sengaja memecahkan Star Craft II kepada tiga bahagian walhal ia boleh disatukan.

Begitupun, siri kedua francais ini tidak mengecewakan. Ia dikeluarkan pada Mac lalu untuk platform komputer peribadi.

Keperluan paling penting untuk bermain HOTS ialah akaun Battle.net iaitu portal yang merupakan permainan secara dalam talian milik Blizzard.

Pertempuran dalam talian

Jika bertempur dalam talian, pemain memerlukan akaun Battle.net, di mana semua permainan terbitan Blizzard juga menggunakan portal yang sama.

Pemain boleh berhadapan dengan individu lain dan memilih untuk mengawal mana-mana bangsa seperti Terran, Zerg atau Protos.

Bagi HOTS pula, setiap bangsa memiliki unit baharu, di mana Protos memiliki unit baharu yang paling banyak.

Secara kasarnya, HOTS hanyalah satu daripada pelbagai jenis permainan genre RTG yang terdapat di pasaran.

Apa yang membezakannya ialah legasi yang dibawanya. Francais Star Craft memiliki dasar peminat yang sangat kuat dan tegar.

Corak permainannya sama seperti siri sebelum ini dalam Wings of Liberty, dengan penambahan beberapa unit baharu.

Star Craft lazimnya, digunakan untuk bertempur dalam LAN Party atau dalam lawatan. Bagi pemain yang mengikuti jalan ceritanya, nantikan kemunculan bahagian ketiga iaitu Legacy of the Void.


WALAUPUN dipecahkan kepada tiga bahagian HOTS tetap tidak mengecewakan.


Queen of Blades

Kali ini, pemain akan memainkan watak Queen of Blades iaitu Sarah Kerrigan. Rentetan peristiwa sebelum ini, Sarah telah pulih daripada menjadi permaisuri makhluk Zerg.

Ekoran daripada kejadian-kejadian dalam permainan itu, Sarah memilih untuk kembali kepada The Swarm untuk menghancurkan musuh ketatnya daripada kaum Terran, iaitu Arcturus Mengsk.

Cara Permainan

HOTS adalah permainan genre RTS atau Real Time Strategy. Seperti genrenya, ia memerlukan kemahiran pemain dalam merancang serangan dan mengumpul bahan mentah untuk menyelesaikan sesuatu misi.

Namun, ia bergantung senario yang dimainkan kerana strategi yang digunakan adalah berbeza.

Dalam mod permainan kempen, tahap AI komputer boleh dicatu tetapi dalam permainan mod secara dalam talian, kemahiran pemain benar-benar diuji.




The Swarm

Pemain akan mengawal bala tentera makhluk asing Zerg, dalam gerombolan yang banyak.

Zerg merupakan makhluk yang unik kerana boleh mengadaptasi diri mereka dengan persekitaran untuk kelangsungan hidup malah Zerg juga boleh mengubah suai diri mereka untuk menambahkan kebolehan mereka.

Unit hero

Selain dari mengawal The Swarm, pemain juga boleh mengawal beberapa unit hero. Selain Sarah sendiri, terdapat hero unit lain seperti Dehaka dan Alexei Stukov.

Terdapat juga beberapa misi di mana pemain diperlukan untuk mengawal bangsa lain iaitu Terran untuk memajukan jalan cerita dalam mod permainan kempen.

Leviathan

Di antara misi, pemain akan menghabiskan masa di Leviathan, pesawat Sarah Kerrigan.

Di sini, pemain boleh mengumpul maklumat dengan berbual dengan pembantu Sarah, menaik taraf kebolehan Sarah dan yang paling penting, anda perlu ke Evolution Pit.

Terdapat tujuh misi sampingan untuk mengubah suai DNA Zerg tertentu untuk menjadikan mereka lebih berkuasa.