Pergeseran anak-beranak



BARU-baru ini industri hiburan tempatan dikejutkan dengan kontroversi pergaduhan pelakon yang sedang meningkat naik, Afiq Muiz, 21, dengan ibu kandungnya Hasliza Mohd, 48.

Bagaikan drama swasta yang disaksikan secara langsung, pergaduhan itu semuanya bermula sejak ibunya meluahkan kekecewaan hatinya terhadap Afiq kepada pihak media yang dikatakan telah berubah sikap.

Kenyataan ibu Afiq, dibalasnya dengan linangan air mata di hadapan kaca televisyen dan kata-kata yang agak keterlaluan bagi seorang anak.

Sebenarnya, kes pergaduhan antara artis dan ahli keluarga terutama bersama ibu bapa bukanlah satu perkara baharu dalam industri seni.

Sebelum Afiq, ramai artis pernah mendapat liputan luas media gara-gara drama keluarga.

Sekitar tahun 1980-an, telah berlaku kes saman-menyaman antara Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan ibunya.

Model dan pelakon jelita, Nasha Aziz juga pernah disaman oleh bapa kandungnya pada tahun 2004 dan kes itu berlanjutan sehingga tahun 2009.

Selain itu, pelakon Wan Nor Azlin juga melalui episod yang sama apabila disaman oleh bapanya Wan Mohd. Husain Wan Ibrahim, 76, pada 5 Februari lalu kerana didakwa menghalang bapanya daripada menjual hartanah dan enggan keluar dari sebuah rumah milik bapanya di Taman Sri Keramat.

Wan Nor Azlin kemudiannya telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman berkenaan pada 20 Mac lalu.

Bukan itu sahaja, pengarah muda Syamsul Yusof dikatakan pernah bergaduh dengan bapanya, Datuk Yusof Haslam. Sementara, pelakon Siti Fazurina sehingga kini masih dalam perang dingin dengan ibunya kerana perkahwinannya tidak direstui.

Namun, bukan semua episod pergaduhan itu kekal selama-lamanya, sebaliknya ada yang sudah berbaik semula seperti penyanyi terkenal Ning Baizura.

Ning pernah berperang dingin dengan bapanya Sheikh Hamzah Sheikh Muhammed selama 10 tahun.


DRAMA. Siti Fazurina ditenteramkan suaminya apabila ibunya (kanan) dibawa oleh adik lelakinya beredar dari lokasi Fazurina mengadakan sidang akhbar pada 23 Disember tahun lepas di Bayan Baru, Georgetown, Pulau Pinang.


Sedar kesilapan - Ning

Menurut Ning, populariti mampu melalaikan seseorang artis tentang tanggungjawabnya kepada ibu bapa.

Itulah hakikat yang berlaku kepada dirinya suatu masa dahulu sebelum tersedar dan berazam untuk memperbaiki hubungannya dengan ayahnya sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Omar Shariff Christopher Layton Dayton pada tahun 2008.

"Populariti yang datang ketika muda mudah membuatkan kita rapuh dan lalai dengan tanggungjawab sendiri kepada ibu bapa. Masa muda begitu banyak impian yang saya ingin kecapi dan tidak sedar semua populariti dan kejayaan itu membuatkan saya leka dengan dunia saya sendiri," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

"Sebelum berkahwin, saya mencari bapa semula dan merapatkan kembali hubungan bapa dan anak yang terputus sebelum itu. Waktu itu, saya lebih matang dan saya ingin kebahagiaan dalam hidup, pergaduhan yang panjang tidak menguntungkan sesiapa.

"Alhamdulillah, hubungan kami pulih dan paling penting dalam setiap hubungan adalah kejujuran. Saya rasa lebih tenang dan bahagia selepas bapa sendiri merestui perkahwinan serta setiap kejayaan saya," balasnya.

Tambahnya, perceraian antara bapa dan ibunya, Satila Abdullah sedikit sebanyak telah menganggu hubungannya dengan bapa. Hubungan yang keruh antara mereka menyebabkannya menjadi mangsa keadaan.

"Hubungan ibu dan bapa saya tidak baik, mangsanya di situ ialah diri saya sendiri. Selepas meningkat dewasa, saya sedar penceraian antara ibu bapa bukan bermakna saya perlu bermusuh dengan bapa sendiri kerana saya tetap anaknya walaupun mereka sudah bercerai.

"Tiada ibu bapa yang sempurna dalam dunia ini. Itu hakikatnya dan saya sebagai anak harus sedar di mana kedudukan saya," katanya.

Luah Ning, sejak melahirkan anak sulungnya, Ryan Sky Dalton pada 30 Januari lalu, barulah dia mengerti kasih sayang seorang ibu bapa kepada anak.

"Selepas melahirkan anak, saya sedar betapa sayangnya saya pada anak sendiri dan besar tanggungjawab saya untuk membesarkannya dengan baik. Saya dapat rasa apa perasaan ibu bapa saya dan sedar begitu besar jasa mereka terhadap saya," ucapnya.

Bercakap tentang senario yang melanda ramai artis muda yang begitu lantang bersuara dalam perang dingin antara mereka dan ibu bapa masing-masing, Ning memberi nasihat supaya mereka sedar diri sebelum terlambat.

"Sedarlah diri, jika tiada ibu bapa kita, tiadalah kita di dunia ini. Hargailah perngorbanan mereka dan jagalah setiap butir bicara yang keluar dari mulut kita ketika membuat sebarang kenyataan," katanya.


IKATAKAN kekeluargaan. Liyana (kanan) serta dua adik-beradiknya bersama ibu mereka.


Jangan bogelkan kisah keluarga - Datuk Yusof Haslam

Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mempunyai dua orang anak yang cukup dikenali terutamanya Syamsul Yusof yang popular sebagai pelakon dan pengarah serta adiknya, Syafiq Yusof yang mula menjinakkan diri dalam bidang pengarah filem.

Mempunyai dua orang anak lelaki yang dikenali ramai bukan sesuatu yang mudah. Akui Yusof, dia pernah bergaduh dengan anaknya sebelum ini, bagaimanapun pergaduhan itu tidak berpanjangan.

"Tipulah kalau kami tidak pernah bergaduh. Biasalah dalam hubungan antara bapa dan anak pasti akan berlaku perselisihan faham dalam pelbagai perkara. Apa yang penting, bagaimana saya sebagai bapa menghadapi situasi itu.

"Kalau boleh jangan mendedahkan kisah peribadi atau sengketa yang berlaku kepada masyarakat. Mesti ada sikap tolak ansur.

"Saya tidak terlalu mendesak, jika mereka ada masalah tanya secara baik kerana zaman anak-anak kita hari ini tidak sama dengan zaman saya. Cabaran mereka lebih hebat terutama mereka yang bekerja dalam bidang seni," tuturnya.

Menurutnya lagi, teknologi yang canggih hari ini mampu menjarakkan hubungan antara anak dan ibu bapa.

Justeru, ibu bapa harus memainkan peranan yang lebih besar supaya jurang antara mereka tidak begitu ketara.

"Anak muda hari ini jarang berbual-bual dengan ibu bapa. Mereka lebih suka menatap telefon secara tidak langsung hubungan itu akan mula renggang. Gunakan cara yang baik untuk menarik semula anak kepada kita tetapi bukan dengan cara paksaan," jawabnya.

Tegasnya, sebagai anak pula, mereka harus sedar akan tanggungjawab dan harus menghormati ibu bapa walaupun seburuk mana ibu bapa mereka.

"Kesabaran ibu bapa ada batasnya, anak harus sedar tempat mereka dan hormati ibu bapa yang membesarkan mereka.

"Saya sebagai bapa mungkin lebih sabar dan tenang dalam menghadapi sebarang situasi yang melibatkan anak-anak tetapi kalau seorang ibu, mereka lebih sensitif kerana mereka yang mengandungkan anak itu selama sembilan bulan.

"Disebabkan itu, para ibu tidak sedar mereka meluahkan rasa sedih dalam keadaan yang marah. Bagi saya, apa jua konflik yang berlaku anak-anak yang bergelar artis harus beralah dengan ibu bapa dan jika boleh jangan memperbesar-besarkan masalah keluarga sehingga menjadi anak derhaka," balasnya.

Jadi rakan anak - Datin Habsah Simpon

Ibu kepada pelakon dan penyanyi popular Liyana Jasmay, Datin Habsah Simpon turut bergelar pengurus kepada anak bongsunya itu. Sepanjang kerjaya Liyana, tidak pernah berlaku sebarang konflik yang mampu menggeruhkan hubungan antara ibu dan anak itu.


YUSOF dan Syamsul merupakan contoh betapa pentingnya hubungan yang baik antara bapa dan anak untuk masa depan karier seni yang sukses.


Kata Habsah, kunci utamanya ialah menjadi rakan baik kepada anak sendiri. Segala masalah yang dihadapi Liyana harus dibincangkan terlebih dahulu bersamanya.

"Alhamdulillah, saya tidak ada sebarang masalah sepanjang menguruskan anak sendiri. Mungkin kerana, Liyana bermula daripada bawah dan pada usia yang muda.

"Saya masih ingat ketika dia berlakon dalam filem Castello waktu itu usianya 16 tahun, saya katakan padanya untuk menjadi artis harus bijak dan hati harus kuat.

"Saya buat Liyana seperti rakan. Apa juga masalah tidak kiralah masalah tentang kekasih, saya harus menjadi orang pertama yang diberitahu.

"Sebagai ibu saya harus tahu masalah anak serta ke mana haluan yang dituju dan sebagai pengurus saya harus memastikan kerjayanya berjalan lancar," ujarnya.

Habsah juga tidak setuju dengan kelantangan sesetengah artis muda yang memburukkan ibu bapa sendiri kepada media. Sebagai ibu, dia juga sedih melihat situasi yang berlaku sekarang ini.

"Sebagai artis setiap perbuatan dan kata-kata kita akan dibaca oleh orang ramai. Seburuk-buruk mana pun ibu bapa kita, sebagai anak kita tidak boleh meluahkan kata-kata yang melukakan hatinya, saya juga seorang ibu, saya tahu bagaimana perasaannya jika anak menjadikan kita sebagai musuhnya.

"Apa yang penting harus bermuhasabah diri dan ingat dari mana asal usul kita sebelum menjadi artis. Apa yang boleh saya katakan, syurga tetap di telapak kaki seorang ibu," ujarnya.