PBNP nafi jual tiket lebihi kapasiti


DUA tiket berbeza yang dikesan di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bertegas tidak menjual tiket melebihi kapasiti Stadium Darul Makmur di Kuantan semasa perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) yang terpaksa ditangguhkan malam kelmarin.

Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata, sebanyak 30,220 keping tiket di tempat duduk terbuka dan 1,100 lagi untuk tempat duduk berbumbung telah dijual semasa perlawanan tersebut.

"Kita telah menetapkan penjualan tiket untuk perlawanan itu tidak akan melebihi kapasiti maksimum stadium iaitu kira-kira 35,000 orang.

"Memang kita tengok penonton ramai, tetapi faktor cuti sekolah juga menyebabkan bilangan penyokong menjadi sangat ramai kerana ada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

"Kita tidak mengenakan bayaran bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, hanya mereka berusia 12 tahun ke atas perlu membayar dengan harga tiket dewasa dan ini menyebabkan stadium padat," ujar beliau kepada pemberita di Kuantan semalam.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan sesetengah pihak mengenai kepadatan penyokong di stadium tersebut malam kelmarin yang dikatakan antara lainnya berpunca daripada penjualan tiket melebihi kapasiti.

Bilangan penyokong yang terlalu ramai iaitu kira-kira 60,000 orang menyebabkan sebilangan daripada mereka terpaksa ditempatkan sementara di kawasan trek olahraga sebelum kedudukan mereka disusun semula di bangku penonton oleh anggota keselamatan.

Ia menyebabkan perlawanan tertangguh selama 90 minit bermula 8.45 malam dan kemudian dibatalkan pada 10.30 malam selepas pasukan Johor DT dikatakan meninggalkan stadium gara-gara kejadian itu.

Ketika ditanya berhubung dakwaan penjualan tiket palsu, Fuzzeimi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab mahu mengaut keuntungan daripada perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menafikan cetakan tiket yang hanya memaparkan nama pasukan Pahang tanpa tarikh perlawanan dan nama pasukan lawan itu sebagai palsu.

"Tiket itu tidak palsu walaupun hanya bertulis nama Pahang tanpa ada tarikh dan nama pasukan Johor DT. Ia adalah tiket standby dan ia tiket sah.

"Setiap musim, kita menempah tiket itu dan dijual mengikut perlawanan tertentu. Ada sedikit perbezaan pada tiket itu mungkin menyebabkan penyokong keliru antara palsu dan tulen," katanya.

Berhubung tiga pintu yang dikatakan dipecahkan penyokong untuk memasuki stadium, Fuzzeimi menjelaskan, ia terbuka akibat rempuhan kuat sehingga menyebabkan rantai besi berkunci itu terputus.