Sunway Carnival Mall, media anjur badminton persahabatan

PARA petugas media dan kakitangan Sunway Carnival Mall bergambar pada pertandingan badminton persahabatan di Pulau Pinang baru-baru ini.


SEMANGAT. Kira-kira 30 pengamal media dan kakitangan pusat beli-belah, Sunway Carnival Mall beraksi pada Pertandingan Badminton Bersama Media 2013 di Sunway Sports Centre, Sunway Perdana, Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.

Aktiviti itu diadakan bertujuan mengeratkan hubungan antara kakitangan Sunway Carnival Mall dan pengamal media di Pulau Pinang.

Antara yang mengambil bahagian ialah pasukan daripada Utusan Malaysia, Kosmo! dan Sin Chew Daily.

Juara pertandingan itu menjadi milik beregu daripada Sin Chew Daily manakala naib juara dimenangi beregu Guang Meng Daily.

BAKAL GURU. Seramai 3,988 graduan menerima ijazah pada majlis konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pelajaran kali ke-3 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.

Mereka merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dari bidang Sains, Pengajian Sosial serta Pendidikan Islam.

Upacara penyampaian ijazah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dalam ucapannya berkata, kesemua bakal guru itu perlu menyiapkan diri dengan disiplin ilmu perguruan bagi menyahut cabaran dalam menuju ke arah sistem pendidikan bertaraf dunia.

"Cabaran yang akan dihadapi dari semasa ke semasa semakin kompleks terutama dalam usaha untuk mencapai Wawasan Pendidikan Negara pada tahun 2020," katanya.