Protes berendam dalam lumpur


LELAKI ini berharap penderitaan mereka mendapat pembelaan dunia.


PULUHAN penduduk Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia berkumpul di daerah itu hujung Mei lalu sebagai memperingati tahun ketujuh perkampungan mereka dilanda bencana lumpur panas. Mereka memacakkan pelbagai papan tanda serta patung orang-orang sebagai protes di atas penderitaan dan kemusnahan kediaman di situ.

Beberapa orang penduduk yang lebih ekstrem melompat masuk ke dalam kelopak-kelopak lumpur sambil berendam, berbaring dan menangis.

"Ia adalah lambang penderitaan tujuh tahun kami apabila perkampungan kami hilang begitu sahaja dalam sekelip mata," ujar seorang penduduk yang enggan dikenali.

Semuanya bermula kira-kira tujuh tahun lalu apabila sebuah syarikat gas tempatan, PT Lapindo Brantas memulakan projek cari gali gas di Sidoarjo yang terletak di selatan Surabaya.

Fasa pertama projek itu berjalan lancar, bagaimanapun ketika ia memasuki fasa kedua melibatkan pengerudian sejauh 2,834 meter di bawah tanah, berlaku letusan kecil yang mengandungi campuran air, wap dan gas tidak jauh daripada lokasi berkenaan.

Letusan itu berterusan selama beberapa hari disusuli limpahan lumpur panas dipercayai berpunca daripada lingkaran gunung berapi bawah tanah. Ia terus merebak sehingga memusnahkan harta benda dan kediaman penduduk.

Seramai 14 orang terbunuh manakala 30,000 penduduk di beberapa perkampungan terpaksa dipindahkan ke tempat selamat.


SEORANG lelaki mengangkat barang di sebuah perkampungan Sidoarjo yang kini bertukar seperti padang jarak padang tekukur.


Berpuluh-puluh kampung dengan lebih 10,000 kediaman musnah manakala sekolah, kilang dan pejabat turut tidak terkecuali menerima impak limpahan yang berlaku.

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkan impak limpahan itu seperti membina tembok, menimbus bebola konkrit ke dalam kawah dan sebagainya.

Namun begitu, kawasan yang berdekatan dengan lokasi limpahan lumpur terpaksa dikosongkan kerana ia tidak lagi selamat.

Penduduk menyalahkan aktiviti cari gali gas yang dilakukan sebelum ini sebagai punca kepada permasalahan itu, namun dinafikan oleh PT Lapindo Brantas.

Lebih-lebih lagi keputusan Mahkamah Agung pada 2 April 2009 yang lalu menyatakan punca limpahan itu disebabkan bencana alam sekali gus membebaskan syarikat itu daripada tanggungjawab membayar ganti rugi kepada penduduk.