Peti sejuk bergegar, televisyen meletup


AWANG menunjukkan dua set televisyen di rumahnya yang rosak selepas meletup akibat aliran voltan elektrik tinggi di Kampung Jelor Hulu, Pasir Puteh, Kelantan semalam.


PASIR PUTEH – Lebih 100 penduduk di Kampung Jelor Hulu dekat sini bertempiaran lari apabila peralatan elektrik di rumah mereka meletup serentak secara tiba-tiba petang kelmarin.

Seorang penduduk, Ramli Mohamad, 48, berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang itu menyebabkan dia dan keluarga panik kerana peralatan elektrik yang sedang digunakan di rumah mengeluarkan bau hangit dan berasap sebelum meletup secara tiba-tiba.

Menurutnya, kejadian itu disedarinya apabila mendapati peti sejuknya bergegar dan pada masa yang sama, televisyennya meletup dengan kuat.

“Selepas itu, satu rumah bau hangit macam getah terbakar. Saya rugi kira-kira RM3,000 akibat kerosakan peralatan elektrik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi seorang pengusaha perabot, Awang Jusoh, 60, dia mendakwa kerugian RM6,000 apabila dua set televisyen, dekoder Astro, peti sejuk dan dua set komputer di rumahnya rosak selepas mengeluarkan asap dan meletup.

“Nasib baik semua mesin dan peralatan kayu di bengkel perabot sempat ditutup sebelum kejadian, jika tidak, saya pasti menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.

Selain itu, ketika kejadian, putaran kipas silingnya menjadi terlalu laju macam bilah helikopter walaupun meter kawalan kelajuan diletakkan pada nombor satu.

“Putarannya adalah luar biasa sehingga kesemua lampu rumah yang dipasang meletup satu demi satu dan diikuti dengan peralatan lain yang berasap,” ceritanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.