Sumbang kenderaan kepada pertubuhan kebajikan


FAIZAH (barisan belakang, enam dari kanan) bersama kakitangan Agrobank dan para penghuni Perkaya Musaba di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.


SIMPATI. Agrobank menyumbang sebuah kenderaan Proton Wira 1.5, wang zakat sebanyak RM3,400 dan kutipan kakitangan sebanyak RM8,400 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ummu Sabariah (Perkaya Musaba) sempena mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang diadakan di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Pengerusi Agrobank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir menyerahkan kunci kenderaan itu kepada Pengerusi Asrama Perkaya Musaba, Mohd. Shukri Abdul Shukur.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Agrobank Wilayah Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Mardziah Sulaiman.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Agrobank, Zamberi Baharin berkata, pihaknya akan terus menjalankan pelbagai aktiviti membantu golongan yang memerlukan sebagai satu tanggungjawab sosial.

Menurutnya, Agrobank menyediakan pelbagai perkhidmatan perbankan konvensional dan Islamik berupa kemudahan deposit, pinjaman, perlindungan insurans dan khidmat nasihat melalui 188 cawangannya di seluruh Malaysia.