Pahang akur gagal mara ke final


MARTIAS Conti (kanan) menjaringkan dua gol buat pasukan Pahang pada aksi menentang Johor Darul Takzim pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.


"KAMI menang, tetapi terpaksa akur dengan kegagalan mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini."

Demikian respons spontan jurulatih Pahang, Dollah Salleh selepas skuad kendaliannya tewas menerusi jaringan di tempat lawan meskipun terikat agregat 2-2 dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, Pahang selaku tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Martias Conti seawal minit pertama dan ke-40.

Namun, impian skuad Tok Gajah untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas Andrea Francisco meledak gol tunggal Harimau Selatan sekali gus menyaksikan Johor DT mara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Mengulas lanjut, Dollah menyifatkan kekalahan Pahang berpunca daripada sikap terlalu berhati-hati selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Menurut Dollah, skuad kendaliannya cuba bangkit di separuh masa kedua namun gagal untuk menambah jaringan.

"Kami terpaksa akur dengan keputusan ini.

"Saya memuji pemain saya yang mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan menentang Johor DT.

"Pada pendapat saya, kesilapan kami adalah terlalu bermain berhati-hati pada separuh masa kedua.

"Akhirnya, kami dihukum disebabkan corak tersebut dan kami cuba bangkit namun gagal menghasilkan jaringan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Dollah turut mengakui bahawa faktor keletihan pada aksi kedua permainan telah memberikan kelebihan buat pasukan pelawat untuk menghukum pasukannya.

Katanya, beliau terpaksa bertindak mengeluarkan perancang Tok Gajah, Amirul Hadi Zainal yang mengalami kecederaan pada perlawanan tersebut.

"Kedua-dua pasukan bermain dengan cukup baik.

"Cuma, barisan tengah kami nampak kepenatan dan saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan Amirul Hadi.

"Ini kerana dia beraksi dalam keadaan cedera (dan menggantikannya dengan Azidan Sarudin pada separuh masa kedua).

"Akhirnya, Johor DT mengambil kesempatan itu dengan memberikan tekanan kepada kami.

"Saya selalu menasihatkan kepada pemain saya jangan melakukan kesilapan walaupun dalam tempoh satu saat.

"Namun, pasukan lawan tetap berjaya menjaringkan satu gol, dan saya memang kecewa dengan keputusan ini," katanya.