Jazimin tarik balik saman

BEKAS pekerja grafik yang buta mata kanan akibat terkena mercun semasa menyaksikan perlawanan bola sepak dua tahun lalu, menarik balik saman berjumlah RM776,000 yang difailkan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bekas Ketua Polis Selangor dan dua yang lain.

Ahmad Jazimin Mohd. Jalaludin, 31, selaku plaintif, memfailkan saman tersebut pada 24 Julai 2012 selepas mendakwa defendan cuai dalam aspek keselamatan sehingga berlaku insiden yang menyebabkan dia mengalami kecacatan kekal.

Plaintif menamakan FAM sebagai defendan pertama manakala bekas Ketua Polis Selangor (kini Ketua Polis Negara) dan bekas Ketua Polis Negara, masing-masing defendan kedua dan ketiga serta kerajaan Malaysia sebagai defendan keempat.

Peguam, Nik Mohamad Anuar Badiruddeen yang mewakili plaintif berkata, anak guamnya telah menarik balik saman selepas persetujuan bersama dicapai dengan FAM.

“Selepas persetujuan dicapai, kedua-dua pihak menarik balik saman, tanpa kebebasan untuk failkan semula tanpa kos,” katanya kepada media selepas Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membenarkan permohonan plaintif di kamarnya di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh memaklumkan butir-butir persetujuan tersebut.

Peguam William Lin Wee Cheong dan Johnson Lim Foong Tat hadir bagi pihak FAM.

Dalam kejadian tersebut, plaintif mendakwa berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi menonton perlawanan kempen Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 28 Julai 2011 membabitkan Malaysia dengan Singapura yang berkesudahan kedua- dua pasukan seri 2-2.

Pada pukul 8.45 malam hari kejadian, satu mercun yang dibakar oleh penyokong lain di stadium berkenaan telah meletup dan terkena pada mata kanan Ahmad Jazimin yang ketika itu berada di bangku penonton, sekali gus mengakibatkan kecacatan kekal pada mata kanannya.

Menurut plaintif, saman yang dikemukakan adalah sebagai tuntutan terhadap kehilangan punca pendapatan dan hilang upaya kekal yang ditanggungnya.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am (kesakitan dan kesengsaraan) bagi kecacatan mata kekal berjumlah RM100,000, ganti rugi khas (hilang upaya pendapatan) RM576,000, ganti rugi khas lain sebanyak RM100,000 dan faedah-faedah ganti rugi lain sehingga tarikh penghakiman

Bagaimanapun, pernyataan pembelaan defendan kedua dan ketiga yang dipinda pada 14 Februari 2013 mendakwa, keselamatan semasa perlawanan bola terutama dalam stadium tertakluk kepada FAM sebagai penganjur.

Ddefendan kedua, ketiga dan keempat pula mendakwa yang mereka hanya bertugas untuk membantu FAM bagi kelancaran perlawanan bola sepak.