UniMAP anjur seminar integriti untuk kakitangan

KAMARUDIN (duduk di tengah) bersama sebahagian daripada kira-kira 70 kakitangan UniMAP yang menghadiri Seminar Integriti dan Akauntabiliti Pengurusan di Arau, Perlis baru-baru ini.


BENGKEL. Kira-kira 70 kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghadiri Seminar Integriti dan Akauntabiliti Pengurusan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Pauh Putra, Arau, Perlis baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung selama sehari itu bertujuan memperkukuhkan jati diri dalam kalangan peserta terhadap agama, bangsa dan tanah air selain menerapkan budaya integriti dan akauntabiliti dalam setiap tugasan yang diamanahkan.

Antara ahli panel yang dijemput ialah Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis, Tuan Alias Darus dan Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Seminar tersebut dirasmikan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Menurut Kamarudin, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dan jati diri seseorang penjawat awam sangat penting dalam usaha memastikan segala hala tuju visi dan misi kerajaan dapat dicapai dan dilaksanakan dengan jayanya.