Econsave bantu kanak-kanak penghidap penyakit kepala besar


ZAMZURI (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Muhamad Adnan ketika melawat kanak-kanak itu di rumahnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.


BANTU. Pusat beli-belah Econsave menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit kepala besar yang dikenali hydrocephalus di Taman Impian Indah Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.

Sumbangan menerusi Program Kami Prihatin itu dalam bentuk barangan keperluan harian kanak-kanak itu, Muhamad Adnan Azlan yang berusia empat tahun.

Pengurus Econsave Cawangan Utara, Zamzuri Mansor berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

"Selepas kisah Adnan disiarkan dalam akhbar, kita berasa simpati dan merancang untuk memberikan bantuan kepada ibu bapanya supaya mereka dapat menampung perbelanjaan barangan keperluan anak mereka itu.

"Pihak Econsave telah memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 dalam bentuk barangan keperluan seperti susu tepung, lampin pakai buang dan kipas," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Cawangan Econsave Bukit Mertajam, Kuan Yit Wah.