Forum Perdana Ehwal Islam Diraja mengenai mendaulatkan institusi diraja 6 Jun

05/06/2013 6:33pm

KUALA LUMPUR - Orang ramai dijemput mengikuti kupasan Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk 'Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong: Mendaulatkan Institusi Diraja' yang akan disiarkan secara langsung melalui TV1 pada pukul 9 malam esok.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, forum anjuran bersama Istana Negara, Jakim dan RTM itu akan menyentuh kedaulatan institusi diraja yang mesti dilihat relevan dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan perlu dipertahankan oleh semua pihak di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan mencemar duli menghadiri forum berkenaan yang julung kali diadakan bersama Seri Paduka di Istana Negara, Jalan Duta, di sini, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Othman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan akan turut menghadiri forum perdana itu.

Tiga anggota panel dijemput bagi mengupas tajuk itu terdiri daripada Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya, Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Moderator forum ialah Ustaz Badlishah Alauddin. - Bernama