Hyori pernah rasa terpinggir


HYORI berjaya menewaskan kumpulan 4Minute dalam program Inkigayo.


PENYANYI Lee Hyori merupakan diva dalam industri seni Korea Selatan. Namun, dia baru-baru ini membuat pengakuan pernah berasa terpinggir beberapa tahun dahulu dalam industri itu.

Katanya ketika muncul dalam program televisyen Thank You: "Sejujurnya, saya pernah rasa sukar terutamanya dua atau tiga tahun dahulu.

"Sebelum ini, saya fikir inilah tempat dan dunia saya, tetapi ketika itu juga industri seni semakin dingin terhadap saya.

"Sampai satu tahap bila saya berjumpa dengan orang yang jauh lebih muda terdetik dalam hati, adakah mereka kenal saya?

"Perasaan tersebut dirasakan semakin kuat apabila saya menyertai program hiburan yang berbentuk pertandingan atau carta.

"Penyanyi-penyanyi bukan sahaja perlu menonjol bakat menyanyi, bahkan kelincahan dan gaya seksi memandangkan banyak program hari ini mengambil kira undian daripada penonton," luahnya.

Akui Hyori, dia berasa kurang yakin untuk bersaing dengan penyanyi berkumpulan yang jauh lebih muda 10 hingga 20 tahun daripadanya.

Malah, disebabkan tekanan yang dihadapi, penyanyi berusia 34 tahun itu pernah berdepan dengan masalah ketagihan alkohol.

Namun, katanya, dengan sokongan peminat dan keluarga akhirnya dia semakin positif.

Hyori menegaskan, dia tidak perlu bersedih atau tertekan jika tidak mendapat nombor satu dalam program-program hiburan.

"Setahun ini saya menjadi lebih kuat dan positif jika tidak mendapat tempat pertama.

"Saya popular dengan program seperti itu dulu. Sudah tentunya saya akan terus menyertainya," kata Hyori.

Sikap positif Hyori ternyata berbaloi apabila dalam episod terbaharu program Inkigayo, Hyori mampu tersenyum girang apabila dipilih sebagai pemenang tempat pertama menerusi lagu Bad Girls menewaskan kumpulan 4Minute.