Ducati perluas kehadiran jenama di Malaysia

06/06/2013 9:49pm

KUALA LUMPUR - Next Bike Sdn. Bhd., pengimport dan pengedar tunggal jenama Ducati di Malaysia, telah melancarkan cawangan edaran Ducati terbaharu di Sungai Buloh, hanya setahun selepas pembukaan Pusat Ducati terbesar Asia di Petaling Jaya.

Pelancaran Ducati Welly Sungai Buloh sebagai pengedar rasmi Ducati menandakan permulaan rancangan Ducati Malaysia untuk pengembangan jenama itu di Malaysia, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada majlis itu, syarikat tersebut juga memperkenalkan edisi khas Multistrada 1200 ABS China Adventure.

Syarikat itu juga berkata, ia merancang untuk membuka beberapa bilik pameran baharu untuk membolehkannya memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pemilik dan pelanggan Ducati.

"Kawasan utama yang sedang kami timbangkan ialah Hartamas, Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Kuching, katanya. - Bernama