Jenazah pendaki Everest selamat tiba di KLIA

VAN yang membawa jenazah Mohamad Shahrulnizam meninggalkan Terminal Kargo Penerbangan Malaysia (MAS) menuju ke Klang di KLIA, Sepang malam tadi.


SEPANG Jenazah Allahyarham Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, salah seorang peserta mendaki Gunung Kala Pathar dan Everest Base Camp, Kathmandu, Nepal 2013 yang meninggal dunia akibat diserang penyakit akut ketinggian (AMS) selamat tiba di tanah air pada pukul 7.15 malam tadi.

Jenazah Mohamad Shahrulnizam, 25, yang meninggal dunia pada Isnin lalu diiringi oleh dua pendaki lain iaitu Muhammad Fauzan Hassan dan Mohamad Sujairi Ishak yang tiba dari Kathmandu, Nepal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH171.

Ketibaan jenazah disambut Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhamad Haitamin Ishak serta ahli keluarga mangsa.

Jenazah kemudian dibawa menaiki van diiringi kereta polis terus ke Surau An Nur, Tanjung Syawal, Sungai Pinang untuk disembahyangkan serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah, Klang malam tadi.

Pada Isnin lalu, Mohamad Shahrulnizam iaitu seorang Penolong Jurutera di PPj yang mengikuti pendakian Gunung Everest meninggal dunia akibat diserang AMS pada pukul 7.15 malam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.