Laluan susur keluar Jambatan Kedua P. Pinang runtuh


BAHAGIAN penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang runtuh di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Batu Maung, Pulau Pinang semalam.


BAYAN LEPAS - Jalan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang ke Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung dekat sini runtuh dalam satu kejadian kira-kira pukul 7.15 malam tadi.

Menurut jurucakap Jambatan Kedua Pulau Pinang Sdn. Bhd. (JKSB), runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada ramp di bawah kerja-kerja pembinaan di dalam pakej 3A yang giat dijalankan.

"Kita masih siasat punca kejadian dan JKSB akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian ini selewat-lewatnya pagi esok (pagi ini)," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, setakat ini pihak berkuasa tidak dapat memastikan sama ada terdapat kenderaan yang lalu lalang di situ terperangkap di bawah runtuhan yang berlaku berhadapan dengan kilang Motorola tersebut.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Zalali Mohamad, 30-an berkata, runtuhan itu berlaku dalam sekelip mata dan dipercayai menghempap beberapa kenderaan yang sedang melalui jalan di bawah kawasan pembinaan berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.