Putin bercerai dengan isteri


IMEJ yang disiarkan stesen televisyen Russia24 kelmarin menunjukkan Putin dan Putina bercakap kepada pemberita selepas mereka menonton persembahan tarian balet di Istana Kremlin, Moscow.-AP


MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin mengejutkan penduduk Rusia apabila beliau mengumumkan perceraiannya selepas membawa isterinya, Lyudmila Putina menonton persembahan tarian balet.

Mereka bercerai kurang dua bulan sebelum pasangan tersebut menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-30.

Pengumuman perceraian tersebut disiarkan stesen televisyen Rusia selepas Putin membawa Lyudmila, 55, menonton persembahan balet di Istana Kremlin di sini.

Selepas persembahan tersebut berakhir, mereka memasuki sebuah bilik untuk bercakap dengan seorang wartawan.

"Hebat, muzik yang hebat dan produksi yang mengagumkan," kata Putin.

Wartawan tersebut kemudian bertanya tentang desas-desus mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

Putin kemudian tersenyum dan menoleh ke arah Lyudmila dan berkata: "Itu benar."

Selepas beberapa komen susulan dibuat Putin, isterinya mencelah dan berkata: "Ya, kami bercerai secara baik."

Mengulas perkara tersebut, agensi berita Interfax memetik jurucakap Presiden, Dmitry Peskov sebagai berkata, perceraian mereka masih belum rasmi.

"Komen Putin dan pasangannya yang disiarkan di televisyen adalah untuk mengumumkan keputusan tentang perceraian," kata Peskov.

Beberapa laporan menyatakan pengumuman itu dibuat sebagai langkah strategik Putin yang mahu mengekalkan reputasinya sebagai seorang pemimpin yang jujur dan mementingkan nilai-nilai tradisional.

Beberapa laporan pula mendakwa Putin, 60, telah menceraikan isterinya pada tahun 2008 dan merancang untuk berkahwin dengan wanita yang jauh lebih muda.

Wanita tersebut, Alina Kabayeva, 30, merupakan bekas ahli sukan gimnastik Olimpik Rusia.

Beliau dilaporkan mempunyai hubungan sulit dengan Kabayeva yang kini merupakan seorang wakil rakyat.

Perceraian merupakan perkara biasa di Rusia dengan hampir 700,000 pasangan berpisah pada tahun 2009. - Agensi