Pemuliharaan hutan bakau


SEBANYAK 500 anak pokok bakau telah ditanam di Taman Negara Tanjung Piai baru-baru ini.


PEMULIHARAAN alam sekitar memerlukan komitmen yang berterusan. Justeru, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah berganding bahu dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Daerah Pontian dan Taman Negara Johor bagi membersihkan dan menanam anak-anak pokok bakau di sepanjang pantai Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Turut serta Lembaga Pelabuhan Johor, Jabatan Pertahanan Awam Daerah Pontian, Jabatan Hutan, Johor Port Berhad dan Senai Airport Terminal & Services Sdn. Bhd.

Program Pembersihan Pantai dan Penanaman Pokok Bakau Tanjung Piai 2013 itu diadakan baru-baru ini membabitkan penanaman sebanyak 500 anak pokok bakau.

Dalam program itu juga, sebanyak 1,111 kilogram sampah telah berjaya dibersihkan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Azlan Shahrim. Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Laut, Baharin Abd. Hamid dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Mokhtar Abdul Majid.

Dalam ucapannya, Azlan berkata, PTP telah lama bergiat aktif dalam pemuliharaan alam sekitar iaitu bermula di Sungai Pulai. Sejumlah 5,000 anak pokok bakau telah ditanam di kawasan tersebut.

Sebelum ini, PTP juga pernah terbabit dalam usaha pembersihan pantai di Tanjung Piai.

"Kami gembira dengan sokongan yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan semua pihak yang terlibat dengan usaha pemuliharaan hutan bakau ini.

"Kawasan hutan bakau memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan memerlukan pemantauan berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Baharin turut berharap orang ramai mengambil tahu ancaman-ancaman yang sedang dihadapi kawasan hutan bakau dan pantai di negara ini.

"Pokok bakau setinggi 15 meter dapat menukarkan 30 tan karbon dioksida kepada oksigen melalui proses fotosintesis. Oleh itu, saya amat berharap anak-anak pokok yang baru ditanam ini dapat bertahan dan menyumbang kepada alam sekitar," katanya.