Pisang mati berbau wangi


Zabedah mula menyedari pokok pisangnya berbuah dua kali sejak Mei lalu.


PADA 28 Mei lalu, akhbar ada melaporkan seorang penduduk, Ramli Ahmad, 49, terkejut apabila mendapati sebatang pokok pisang emas di belakang rumahnya tiba-tiba mengeluarkan setandan buah di bahagian tengah batang di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak.

Ramli menyifatkan kejadian itu pelik kerana pada kebiasaannya tandan pisang akan berdada di pucuk, namun pisang emas lelaki itu kini semakin membesar.

Pokok pisang setinggi dua meter itu sebelum ini sudah ditebang setelah hasilnya dituai.

Ramli memberitahu, sejak mendapat liputan akhbar, orang ramai mula datang ke rumahnya untuk melihat sendiri keunikan pokok pisang berkenaan, malah ada yang menawarkan diri untuk membelinya pada harga tinggi tetapi dia membuat keputusan untuk menikmati sendiri buah pisang istimewa itu apabila ia sudah masak nanti.

Berlainan kisahnya pula dengan seorang pengawal keselamatan, Zabedah Awang, 52, yang berhadapan dengan situasi sama tetapi sedikit berbeza apabila mendapati pokok pisang rastali miliknya mengeluarkan buah pada bahagian batang pokok yang telah mati.

Zabedah mula menyedari kejadian pelik tersebut pada bulan lalu apabila terlihat batang pokok pisang yang mati itu mula mengeluarkan jantung diikuti putik bunga berwarna putih.

“Pokok pisang ini saya tanam di bahagian belakang rumah sekitar tiga tahun lalu selepas mendapat benih daripada seorang rakan tetapi kini ia membiak menjadi beberapa batang pokok lain.

“Sejak menanamnya, saya tidak ambil peduli tentang keadaan pokok pisang itu melainkan ketika berbuah. Setakat ini, sudah tiga kali ia mengeluarkan hasil.

“Namun, pada suatu hari saya terpandang tunggul batang pisang yang sudah dituai itu kelihatan seperti berbuah lagi.

“Mulanya saya ingatkan kanak-kanak yang bermain di sekitar rumah mencucuk sesuatu ke batang pokok yang telah mati itu tetapi sangkaan saya meleset apabila mendapati ia sebenarnya jantung pisang yang tumbuh pada batang pokok yang mati itu,” ujar ibu kepada empat orang anak ini.

ZABEDAH mendirikan pagar di sekeliling pokok pisangnya.


Tambahnya, sejak menyedari kejadian pelik itu, dia hanya membiarkan pokok pisang terbabit tumbuh seperti biasa sehinggakan dia pernah tercium bau wangi yang dipercayai muncul daripada putik bunga berwarna putih pada bahagian pokok pisang yang tumbuh.

“Tiba-tiba saya tercium bau wangi yang datang daripada putik pokok pisang itu. Kejadian pada waktu Maghrib pada hari Khamis itu merupakan pengalaman baharu kepada saya dan setakat ini, saya masih tiada sebarang perancangan terhadap pokok pisang itu.

“Rakan-rakan turut membantu membuat pagar di sekitar kawasan pokok pisang milik saya dan mereka turut mencadangkan untuk memberi kepada individu yang berkenan,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor.

Tinjauan kru Jurnal mendapati, terdapat kira-kira sembilan sikat dengan bilangan 60 biji buah pisang yang tumbuh daripada bahagian batang yang telah mati itu dan salah satu daripadanya merupakan pisang berkembar.

Terbantut

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Yahya Awang memberitahu, batang pisang mempunyai kandungan air yang banyak walaupun bahagian luarnya sudah kering atau mati tetapi pada hakikatnya pokok ini masih hidup.

ZABEDAH menganggap pokok pisang rastali miliknya yang tumbuh buat kali kedua sebagai satu kejadian pelik.


“Pembentukan bunga dalam bentuk jantung berlaku di dalam batang pada bahagian bawah pokok tersebut tetapi kita tidak melihat proses ini sehinggalah ia muncul pada bahagian atas selepas semua daun muncul terlebih dahulu.

“Walaupun batang pokok itu telah mati, umbinya masih hidup dan cukup untuk menyokong pertumbuhan pokok tersebut. Bagi situasi pokok pisang yang berbuah pada batang mati ini, buah yang dihasilkan berkualiti rendah, malah buah pisang ini tidak mungkin membesar dan masak dengan sempurna.

“Saya jangkakan pertumbuhan pokok ini tidak akan membesar secara normal kerana ketiadaan daun yang boleh menjalankan proses fotosintesis selain ia akan mereput begitu sahaja disebabkan ketiadaan makanan untuk terus menyokong pertumbuhannya,” ujarnya ketika dihubungi.

Jelas Yahya, walaupun di sekeliling pokok pisang terbabit terdapat pokok lain, ia tetap tidak dapat membantu menyalurkan sumber makanan kepada pokok tersebut kerana ia bukan hasil daripada pokok yang sama.

“Buahnya juga tidak akan membesar secara normal dan besar kemungkinan tiada isi seperti pokok pisang normal yang lain,” kata beliau.