Fatehah tidak hadapi masalah

PELUMBA wanita negara, Fatehah Mustapa tidak berdepan masalah untuk menjuarai acara 500 meter ujian masa pada edisi kedua Kejohanan Lumba Basikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2013 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras pagi semalam.

Selepas membolot tiga pingat emas pada edisi pertama minggu lepas, pelumba kelahiran Terengganu itu sekali lagi menepati ramalan untuk menjuarai acara final semalam yang turut menyaksikan tiada kelibat pelumba dari Australia.

Situasi itu menyaksikan Fatehah, 24, pemenang pingat gangsa acara tersebut pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, Mac lalu, menang mudah dengan catatan masa 36.313 saat mengatasi rakan sepasukan daripada Sime Darby Foundation (SDF), Ummi Hamimah Mohamad dengan perbezaan dua saat (38.093s).

Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba pelapis kebangsaan, Farina Shawati Mohd. Adnan yang mencatat masa 40.327s.

"Persaingan kali ini seperti tidak begitu kompetitif bagi saya kerana ketiadaan pelumba wanita dari Australia yang sepatutnya menyertai pusingan kedua di sini.

"Jadi saya anggap penyertaan pada pusingan kedua ini adalah satu latihan bagi menghadapi GP Jerman hujung bulan nanti," jelas Fatehah yang memenangi emas dalam acara keirin, pecut individu dan pecut berpasukan pada pusingan pertama di Velodrom Kuala Lumpur minggu lalu.

Meskipun masa yang dicatat semalam masih jauh daripada catatan peribadi terbaiknya, pemegang rekod kebangsaan 35.581s di ACC 2013 di New Delhi, India itu tetap berpuas hati.

"Catatan masa hari ini (semalam) masih memuaskan bagi saya tetapi bukan masa terbaik peribadi. Kalau persaingan tadi lebih sengit, mungkin catatan saya lebih bagus.

"Bagaimanapun, ia masih lagi suatu persiapan yang baik untuk GP Jerman nanti, namun tumpuan saya lebih kepada acara keirin dan pecut," ujarnya lagi.