Maya, Hans saling beremosi


Maya Karin sudah empat tahun berturut-turut dilantik sebagai duta tilam jenama Vono.


AKTRES jelita Maya Karin dikatakan beremosi dengan aktor Hans Isaac. Malah, hubungan mereka juga dikhabarkan agak tegang.

Apakah puncanya hubungan mereka menjadi begitu?

Ditemui Kosmo! ketika pelantikannya sebagai duta jenama tilam Vono untuk tahun keempat di Slumberland Marketing Sdn. Bhd., Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini, Maya menghurai lanjut mengenai perkara tersebut.

Selain itu, heroin filem Ombak Rindu itu juga bercerita tentang kredibilitinya sebagai duta produk. Dia diberi kepercayaan selama empat tahun berturut-turut menggalas tugas sebagai duta jenama tilam Vono di samping mempromosikan beberapa produk lain.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Maya Karin.

Kosmo!: Bolehkah Maya kongsikan apa yang berlaku kepada anda dan Hans Isaac?

MAYA KARIN: Kami (Maya dan Hans) sebenarnya berlakon bersama dalam filem Nota. Dalam filem itu, kami menjadi pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin tetapi hubungan kami tegang dan tidak begitu baik.

Adakah filem Nota ini gandingan kali pertama Maya dan Hans?

Kami sudah berkenalan selama 15 tahun tetapi tidak pernah berlakon bersama. Filem Nota merupakan gandingan kali pertama kami.

Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai filem itu?

Nota berkisar tentang pembunuhan. Ia mendapat sentuhan pengarah Jepun, sementara jurukamera pula dari Jerman.

Boleh kongsikan perasaan Maya sepanjang berlakon dalam filem itu?

Saya sangat teruja berlakon dalam Nota. Sememangnya saya menantikan saat untuk bekerja dengan orang Jerman. Saya suka tengok hasil-hasil visual filem Jerman. Mereka sangat bagus.

Bagaimanakah Maya boleh terpilih untuk membintangi filem Nota?

Saya dapat tahu mereka mahukan seorang pelakon wanita yang lasak dan juga yang cintakan alam sekitar kerana penggambaran dibuat di hutan Bako, Sarawak.

Apakah cabaran paling sukar ditempuhi Maya sepanjang penggambaran filem tersebut?

Kami perlu menjalani penggambaran selama sebulan. Dalam keadaan cuaca yang sangat panas, ia agak menyukarkan buat saya untuk berlakon. Sebabnya, muka dan badan saya dibanjiri peluh. Saya juga terpaksa bergelut dengan lumpur.


MAYA KARIN dan Hans Isaac berpeluang berlakon di bawah arahan pengarah Jepun menerusi filem Nota.


Adakah filem ini yang paling mencabar pernah Maya lakonkan?

Pontianak Harum Sundal Malam masih kekal rekod sebagai filem yang paling mencabar pernah saya lakonkan. Sebabnya, dalam filem itu saya perlu bawa tiga watak berbeza. Ketiga-tiga watak itu memerlukan solekan berbeza. Jadi, banyak kali saya kena tukar solekan pada wajah. Penggambarannya juga dilakukan pada waktu malam dan saya juga perlu melakonkan babak terbang kerana saya puntianak. Nasib baik, saya masih muda ketika melakonkan watak itu (ketawa).

Boleh kongsikan perasaan Maya dipilih sebagai duta Vono untuk tahun keempat?

Saya sangat bersyukur kerana dipilih sekali lagi menjadi duta Vono. Sememangnya kerjasama antara kami memang baik sejak dari tahun pertama lagi. Mereka beritahu, maklum balas daripada pelanggan juga sangat memuaskan. Malah jika terdapat acara istimewa Vono, jualannya juga sangat memuaskan. Mungkin disebabkan itu saya masih dikekalkan sebagai duta.

Selain Vono, apakah produk lain yang diwakili Maya sebagai duta?

Ada empat produk. Saya sudah menjadi duta produk L’oreal Paris untuk tahun yang ketujuh, Inner Shine bagi tahun ketiga dan Sorella untuk tahun kedua.

Apakah yang membuatkan Maya tertarik untuk menjadi duta kepada produk-produk tersebut? Adakah disebabkan bayaran yang lumayan?

Sebelum menerima tawaran sebagai duta saya akan pastikan dahulu produk tersebut benar-benar berkualiti dan memberi banyak faedah kepada pelanggan. Contohnya seperti Vono, semua orang memerlukan tilam yang menyokong tulang belakang kita dan saya lihat Vono adalah yang terbaik. Harganya juga berpatutan.

Berapa banyakkah tilam Vono yang anda dapat?

Ada empat dan dengar kata mereka ingin beri lagi satu (ketawa).