Perginya Primadona filem Melayu

ALLAHYARHAM bersara dari dunia lakonan untuk memberikan tumpuan kepada keluarga.


ENAM hari lalu, peminat filem Melayu kehilangan pelakon komedi legenda S. Shamsudin yang meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional, Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Petang semalam, seniwati legenda Latifah Omar yang popular pada era 50-an dan 60-an turut mengikut jejak langkah Allahyarham S. Shamsudin.

Aktres yang terkenal dengan kejelitaannya dan tahi lalat di bawah bibir kirinya itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.19 petang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Ia adalah sejurus selepas beliau menjalani pembedahan ulser usus akibat ususnya membengkak dan tersumbat.

Mengimbas kembali perjalanan kerjaya seniwati Latifah Omar sebagai aktres, ia bermula pada usia yang terlalu muda iaitu 16 tahun.

Pada ketika itu, Allahyarham memenangi gelaran ratu cantik Singapura pada tahun 1953.

Tidak mengambil masa yang lama untuk menempah tiket bergelar seorang aktres, Allahyarham telah dilamar oleh pengarah S. Ramanatahan bagi membintangi filem Panggilan Pulau yang ditayangkan pada tahun 1954.

Pada tahun yang sama juga, Allahyarham diberi peluang untuk bergandingan dengan bintang legenda - tidak lain dan tidak bukan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem terbitan Malay Film Production, Merana.

Itu merupakan kali pertama dan terakhir mereka bergandingan di layar perak, sebelum Latifah kemudian berhijrah dari Malay Film Production ke syarikat perfileman Cathay Keris.

Populariti Allahyarham meningkat naik sejak bersama Cathay Keris apabila beliau berlakon dalam banyak filem genre bangsawan bersama Allahyarham Nordin Ahmad.

Beliau sempat membintangi 26 buah filem dengan Cathay Keris, yang mana 12 daripadanya merupakan gandingan bersama Nordin Ahmad.

LATIFAH OMAR, P. Ramlee dan Saloma akan berterusan dikenang sebagai figura legenda dunia perfileman Melayu.


Pasti ramai yang masih mengingati bait-bait lagu dalam filem Gurindam Jiwa yang berbunyi: "Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan."

Itu merupakan filem terakhir yang menggandingkan Latifah dan Nordin selepas mereka bergandingan menerusi beberapa buah filem seperti Laila Majnun, Cucu Datuk Merah dan Hang Jebat.

Selain Nordin Ahmad, Latifah juga pernah digandingkan dengan ramai pelakon lelaki ternama seperti Allahyarham Roomai Noor (Sumpitan Racun), Yusof Latiff (Jalak Lenteng) dan Tony Kassim (Rumah Itu Duniaku).

Dalam filem Bawang Putih Bawang Merah lakonannya bersama Datuk Mustapha Maarof, Allahyarham tampil cemerlang sebagai Merah, anak tiri yang teraniaya.

Menurut Mustapa yang turut digandingankan bersama Latifah dalam filem Kasih Ibu, Raden Mas dan Naga Tasik Chini, Allahyarham merupakan seorang rakan artis yang berbakat besar.

"Saya mengenali Allahyarham sejak tahun 1953. Melihat kesungguhannya pada waktu itu, saya tahu dia (Allahyarham) mempunyai potensi yang besar.

"Ternyata sangkaan saya benar apabila dia menjadi salah seorang primadona filem Melayu waktu itu bersaing dengan beberapa primadona lain seperti Sarimah, Saadiah, Normadiah, Zaiton, Maria Menado, Rosnani dan Roseyatimah.

"Kami pernah beberapa kali bergandingan, jadi memang kami menjadi rakan yang baik. Apabila mendapat berita tentang pemergiannya, saya sedih kerana ramai rakan-rakan seangkatan dengan saya pada waktu zaman filem hitam putih dahulu sudah tiada," tuturnya sedih.

Selepas meraih label ratu perfileman Melayu selama 20 tahun, pada tahun 1973, Allahyarham tekad meninggalkan dunia penuh glamor kerana studio di Jalan Ampas, Singapura ditutup dan kebetulan ketika itu dia melahirkan anak ketiganya.

Masih terkenang kata-kata Allahyarham dalam satu temu bual bersama Kosmo! semasa beliau dianugerahkan Bintang Legenda Perempuan pada Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun 2009.

Beliau menafikan berhenti berlakon kerana ditegah suaminya yang merupakan seorang usahawan.

"Saya berhenti berlakon kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga," tutur beliau.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 74 tahun, meninggalkan empat orang anak dan sembilan orang cucu. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan pada pukul 11.25 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat, Kuala Lumpur.