Revington kembali turun padang

REVINGTON (tiga dari kanan) kembali mengetuai sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.


SUASANA pada sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam kembali ceria.

Ini kerana ketua jurulatih, Paul Revington sudah kembali membimbing anak-anak buahnya yang kini bersiap sedia menghadapi saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bermula 29 Jun hingga 7 Julai depan.

Pada Isnin dan Selasa lalu, sesi latihan skuad negara dikendalikan penolong jurulatih, Arul Selvaraj.

Namun, semalam suasana kem latihan skuad negara kembali mendengar teriakan suara jurulatih kelahiran Afrika Selatan berusia 39 tahun itu dan para pemain juga dilihat begitu bersemangat menerima semula kehadiran Revington.

Revington berkata, beliau amat gembira kerana segala kekusutan yang berlaku sepanjang minggu lalu telah dapat diselesaikan secara baik.

“Kini, saya sangat gembira untuk kembali mengendalikan pasukan kebangsaan dan lebih manis apabila saya melihat pemain-pemain begitu bersemangat apabila melihat kehadiran saya hari ini (semalam). Saya sangat menyayangi pasukan ini.

“Saya juga berharap tumpuan pemain-pemain tidak terganggu dengan situasi yang terjadi minggu lalu,” kata Revington.

Menurut Revington, beliau mahu memberi pujian kepada Arul serta staf kejurulatihan lain yang bekerja dengan baik sepanjang ketiadaannya dua hari lalu.

“Saya anggap apa yang telah terjadi sebelum ini mampu memberi pengajaran yang sangat berguna kepada semua pihak terutama pihak pengurusan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai pemilihan dua lagi pemain bagi melengkapkan senarai 18 pemain ke Johor, Revington berkata, beliau akan berbincang dengan Arul mengenai perkara itu sebelum keputusan dibuat esok.

Pada Isnin lalu, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Revington telah membatalkan hasrat untuk meletakkan jawatan.

Tindakan mengejut Revington untuk mengundur diri itu disebabkan beliau tidak mampu menjalankan tugasnya dengan baik ekoran campur tangan pihak lain.

Difahamkan, antara individu yang mencampuri urusan Revington ialah jurulatih skuad remaja negara, Muhd. Dhaarma Raj Abdullah serta Pengarah Program Pembangunan 1MAS, Lim Chiow Chuan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong turut mengadakan pertemuan dengan Revington, Dhaarma dan Chiow Chuan bagi menjernihkan semula keadaan.