Filem animasi mencuit hati

MONSTERS UNIVERSITY merupakan prekuel filem MonsterInc.


LAYAR PERAK pada minggu ini membawakan filem Monsters University hasil kerja pelakon suara baharu seperti Dave Foley, Julia Sweeney, Joel Murray dan Peter Sohn.

Filem ini merupakan prekuel filem Monsters Inc. Ia bermula ketika Mike Wazowski (Billy Crystal) berada di sekolah rendah. Dia kemudian melanjutkan pengajian ke University of Fear.

Di universiti itu, Mike mendapat rakan sebilik iaitu Randall (Steve Buscemi). Pada waktu malam, dia sering bertelagah dengan seorang lagi pelajar, Sully (John Goodman). Bagaimanapun Mike dan Sully akhirnya berkawan baik.

Dalam pada itu, bagi yang pernah membaca sebuah novel karangan Max Brooks pasti tidak lena tidur apabila menonton filem World War Z.

Filem lakonan Brad Pitt ini semestinya memberi kepuasan kepada penggemar filem seram.

Filem tempatan, Tokak turut menemui penonton minggu ini. Filem ini berkisar tentang penemuan sebuah kotak misteri oleh Iskandar. Apabila Iskandar membuka kotak tersebut, satu roh telah merasuknya menyebabkan beberapa insiden pelik berlaku di hotel yang diurusnya. Pengunjung-pengunjung hotel itu turut terkena tempias gangguan tersebut.

Antara barisan pelakon lama dan baharu yang diketengahkan dalam Tokak ialah Abon, Julia Zeigler, Faiz Raja Lawak dan Diana Johor.

Monsters University

Tarikh tayangan: 20 Jun 2013

Genre: Pengembaraan, komedi dan animasi

Durasi: 1 jam 41 minit

Pengarah: Dan Scanlon

Pelakon: Billy Crystal, John Goodman, Steve Buscemi, Joel Murray, Sean Hayes, Dave Foley, Peter Sohn, Charlie Day, Frank Oz, Helen Mirren, Alfred Molina, Nathan Fillion, dan Aubrey Plaza

Sinopsis: Monsters University ialah filem prekuel kepada filem komedi animasi Pixar yang sangat berjaya, iaitu Monsters Inc. Filem ini memfokuskan kehidupan Sulley dan Mike ketika menuntut di University of Fear. Mereka berdua sentiasa bersaing sesama sendiri sebelum menjadi sahabat baik. Semua pelakon suara untuk filem pertama kembali untuk filem ini. Mereka juga disertai pelakon suara baharu seperti Dave Foley, Julia Sweeney, Joel Murray dan Peter Sohn.


LAKONAN bertenaga Brad Pitt (tengah) pasti memberi kepuasan kepada penonton.


World War Z

Tarikh tayangan: 20 Jun 2013

Genre: Seram dan aksi

Durasi: 1 jam 53 minit

Pengarah: Marc Forster

Pelakon: Brad Pitt, Mireille Enos, James Badge Dale, dan Matthew Fox

Sinopsis: Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel seram Max Brooks iaitu World War Z. Dalam filem ini, seorang wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Brad Pitt yang memegang watak Gerry Lane, telah mengembara ke seluruh dunia untuk menemu bual mangsa serangan Zombie yang digelar World War Z. Dalam filem ini dunia telah banyak berubah dari segi agama, geopolitikal dan alam sekitar.

Tokak

Tarikh tayangan: 20 Jun 2013

Genre: Komedi seram

Durasi: 1 jam 30 minit

Pengarah: Sabree Fadzil

Pelakon: Mikail Andre, Diana Johor, Abon, Julia Zeigler, dan Faiz Raja Lawak.

Sinopsis: Mengisahkan seorang pengurus hotel bernama Iskandar yang terjumpa sebuah kotak misteri di tepi pantai sewaktu berjoging. Isi di dalam kotak tersebut membuatkan dia bertukar watak menjadi ganas dan menggigit semua orang yang melakukan kemungkaran. Gangguan tersebut berlaku di dalam kawasan hotel. Dalam sebutan bahasa pasar orang Utara, tokak bermaksud gigit. Kemunculan seorang ustaz berjaya menyelamatkan tunang Iskandar daripada menjadi mangsa tokak yang terakhir.