BSN sumbang van jenazah untuk masjid


MOHD. SOFI (kanan) memasang reben pada van jenazah yang disumbangkan BSN kepada Masjid Pekan Selising di Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.


AMAL. Bank Simpanan Nasional (BSN) menyumbangkan sebuah van jenazah berharga RM120,000 kepada Masjid Pekan Selising, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Penyerahan telah dilakukan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Perbankan Islam BSN, Mohd. Sofi Mat Jahaya.

Turut hadir Pengurus BSN Negeri Kelantan, Mohd. Azlan Abu Samah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Zulkifli Ali.

Sementara itu, Zulkifli melahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada BSN kerana memilih Masjid Pekan Selising sebagai penerima sumbangan van jenazah itu yang lengkap dengan keranda dan pengusung.

Beliau berkata, sumbangan itu memudahkan penduduk sekitar Selising bagi menguruskan jenazah terutama yang tinggal di kawasan jauh dari tanah perkuburan.