Tukang masak bijak bergaya



LELAKI itu memeriksa secara teliti setiap jahitan pada sehelai pakaian berjenama mewah yang ingin dibelinya. Sebagai pembeli, dia mengharapkan kualiti terbaik daripada pakaian yang mencecah harga ribuan ringgit sehelai.

“Jika saya terjumpa kecacatan kecil pada pakaian tersebut, saya tidak teragak-agak untuk meminta potongan harga. Saya juga pernah memulangkan kembali baju berjenama yang tidak kemas buatannya.

“Jenama tersebut menawarkan penggantian baharu dan apabila diperiksa, kesemua baju tersebut juga mengalami masalah yang sama. Saya bertegas meminta semula wang pembelian meskipun mereka enggan. Bagi saya, pelanggan perlu diutamakan terutamanya apabila melibatkan kualiti barangan yang dibeli,” kongsi Chef Adu Amran Hassan.

Pendirian tegas Adu Amran yang mula dikenali menerusi rancangan realiti televisyen popular, Masterchef Malaysia yang disiarkan di Astro Ria menunjukkan betapa dia mengambil serius soal pemakaian hariannya.

Meskipun bergelar seorang tukang masak, Adu Amran sering tampil bergaya dalam setiap episod Masterchef Malaysia yang menyaksikannya bertindak sebagai salah seorang juri tetap.

Imbas Adu Amran: “Seorang peserta Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama, Karl Shafek pernah menegur penampilan saya. Katanya, benarkah saya seorang tukang masak atau pereka fesyen? Saya anggap soalan itu sebagai satu pujian.”

Kebijaksanaan Adu Amran atau juga mesra dengan panggilan Chef Adu bergaya melahirkan kekaguman penonton. “Memasak merupakan cabang dalam fesyen dan saya rasa ia satu paduan yang menarik,” tambah Adu Amran ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Menggemari gaya kemas sut dan jaket, Adu Amran bagaimanapun bukan seorang yang patuh kepada kod formaliti sesuatu penampilan. Sut berunsur ceria menjadi pilihan lelaki berusia 43 tahun itu.

Jika syarat pemakaian sut hitam menetapkan kemeja putih dijadikan pelengkap, Adu Amran akan tampil serba hitam lengkap dari atas hingga ke bawah. Peraturan warna padanya bukan alasan untuk menjadi kreatif dalam fesyen.

PERNAH bermastautin di Kota London sebelum pulang ke tanah air pada tahun 2011.


Trend blok warna juga dirasakan sering disalah tafsir masyarakat. Ramai beranggapan gaya popular itu merujuk kepada gabungan dua atau tiga warna yang bertentangan, namun bagi Adu Amran ia tidak semestinya percantuman rona berlainan.

“Saya sering merujuk kepada majalah dan katalog fesyen bagi mendapatkan idea untuk gaya peribadi. Tidak semestinya kita mengikut bulat-bulat gaya yang dipaparkan majalah.

“Contohnya, adakah pakaian yang ditonjolkan di atas pentas peragaan sesuai digayakan secara realiti? Jawapannya tentu tidak kerana tujuan peragaan tersebut adalah bagi memberi idea kepada orang ramai tentang trend baharu di pasaran,” sarannya.

Mungkin sikap cerewet Adu Amran ketika membeli-belah disifatkan agak leceh kepada sesetengah orang. Bagaimanapun, ia wajar dijadikan contoh sekiranya anda ingin memperoleh barangan terbaik sekali gus mengelakkan penyesalan dalam berbelanja.

“Jika membeli-belah di luar negara terutamanya di negara-negara Eropah, saya akan menyarungkan pakaian yang ingin dibeli dan kemudian meminta pembantu kedai menemani saya ke pintu butik.

“Pencahayaan dalam kedai memang berbeza dengan di bawah matahari. Mungkin di kedai kita nampak cantik tapi apabila dipakai di luar ia tidak kena dengan kita,” kongsi anak kedua daripada lapan adik-beradik itu.

Label fesyen peribadi

Nilai celik fesyen kepunyaan Adu Amran membuahkan idea kepadanya untuk berkecimpung secara serius dalam bidang seni itu. Hasilnya, anak jati Kluang, Johor itu nekad mewujudkan label fesyen peribadi dengan nama Aduh! by Adu (Aduh!).

Buat masa ini, baju Melayu teluk belanga menjadi pertaruhan awal Aduh!. Ia direka lebih kepada pembentukan stail berbanding mengikut perkembangan trend semasa. Formula itu diyakini Adu Amran kerana baginya, fesyen sering mengalami transisi dari semasa ke semasa manakala stail bersifat jangka panjang.

Bukan sekadar baju Melayu biasa, item di bawah Aduh! mengutamakan keaslian dan kualiti. Atas faktor itu, hanya material terbaik dipilih bagi menghasilkan sepasang baju Melayu ciptaan Adu Amran.

Kapas Mesir, sutera campur, tenun lama dari Chiang Mai, rona indigo dan fabrik berkualiti tinggi dari Eropah menjadi pilihan Adu Amran dalam menterjemahkan rekaan eksklusif yang menawan.


CHEF ADU dikenali menerusi program Masterchef Malaysia.


“Kenapa saya memilih baju Melayu? Sebabnya mudah! Saya seorang penggemar pakaian tradisi ini terutamanya hasil kerja pereka tempatan, Salikin Sidek.

“Saya sangat teliti terhadap rekaan baju Melayu teluk belanga. Sebagai orang Johor, saya mahu pakaian kebanggaan negeri ini dihasilkan dengan penuh cermat.

“Oleh yang demikian setiap kali saya menempah baju Melayu jenis ini, saya pastikan bahagian leher dijahit tangan. Namun, di bawah Aduh! saya tetapkan bahawa keseluruhan proses baju Melayu dijahit tangan,” terang Adu Amran.

Eksklusif buat kaum Hawa

Selain baju Melayu, Aduh! juga menawarkan seleksi tudung dan selendang dengan pelbagai cetakan termasuk liberty yang dihasilkan menggunakan kapas mewah. Rekaan eksklusif buat kaum Hawa itu juga dicipta berasaskan fabrik sutera sifon, sutera satin dan sutera kapas yang didatangkan khas dari Itali, Perancis dan England.

Sebagai pencinta barangan porselin, Adu Amran turut menyelitkan bahan yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan kuarza itu dalam barisan aksesori Aduh! untuk kegunaan lelaki dan wanita.

“Saya pernah menggunakan porselin kecil bentuk bunga sebagai lapel (kelepet di bahagian dada kot) jaket dalam salah satu episod Masterchef Malaysia. Sejak itu saya merasakan ia boleh dijadikan aksesori yang elegan kepada penampilan seseorang.

“Selalunya orang gunakan hiasan porselin untuk dicantumkan pada lampu dan dijadikan barangan dekorasi rumah yang popular.

“Eksperimen yang saya lakukan dengan menggabungkan porselin bersama fabrik amat mengujakan. Ia menjadi kombinasi menarik yang mampu menciptakan nilai eksklusif,” jelas Adu Amran.