Dewi Lasak seperti Charlie 's Angels


PIERRE diapit Bella Daly (kanan) dan Atikah.


JANGAN disangka wanita yang lemah lembut tidak mempunyai bakat mempertahankan diri. Walaupun Seri, Dewi dan Qistina mempunyai rupa paras yang cantik, tetapi itu bukan tanda mereka lemah dan mudah dipergunakan.

Tampil dengan elemen lasak dan romantik, drama bersiri terbaharu, Dewi Lasak menampilkan barisan pelakon Intan Ladyana (Seri), Bella Dally (Dewi), Atikah Suhaime (Qistina), Azwan Kombos (Faiz), Bil Azali (Izani Badaruddin), Niezam Zaidi (Akil Rahmad), Amran Ismail (Joshua Azmi), Lokman Ghani (Jiman) dan Alon Ezendy (Tony).

Drama bersiri 13 episod terbitan MIG Production yang diarahkan oleh Pierre Andre dengan nukilan skrip oleh Panel MIG itu mula ditayangkan hari ini, setiap Rabu, pukul 9 malam menerusi slot Aksi di TV3.

Menurut Pierre, Dewi Lasak merupakan kisah yang sarat dengan elemen drama, percintaan, aksi dan kekeluargaan.

"Sejujurnya, saya rasa Dewi Lasak ini boleh dikatakan sama seperti Charlie's Angles. Saya sebenarnya suka pada genre komedi apabila dapat peluang ini, apa salahnya dan saya ingin cuba benda baharu," ujarnya yang mengambil masa selama 40 hari untuk menyiapkan drama tersebut.

Tambah Pierre, dia lebih senang untuk menjadi pengarah dan sekali gus jurukamera untuk Dewi Lasak.

Ini kerana baginya kepuasan yang dicapai adalah berbeza. Malah, setelah drama itu siap, Pierre mengaku dia amat berpuas hati dengan hasil arahan pertamanya dalam genre drama aksi.

Dewi Lasak mengisahkan tentang tiga adik-beradik iaitu Seri (Intan Ladyana), Dewi (Bella Dally), Qistina (Atikah Suhaime) yang dibesarkan bersama-sama sejak kecil, namun personaliti mereka amat berbeza dengan penampilan mereka.

Seri merupakan kakak sulung dan bekerja sebagai wartawan jenayah yang sangat sensitif dengan isu wanita.

Mempunyai raut wajah yang jelita, Seri sentiasa menyibukkan diri dengan tugasnya kerana ingin menjarakkan dirinya daripada terjerumus dalam percintaan.

Adik Seri, Dewi pula bersungguh-sungguh mencari calon suami yang sesuai untuk kakaknya itu. Dewi memiliki sifat tomboi dan sememangnya tidak suka berdandan.

Adik bongsu Seri dan Dewi, Qistina yang masih menuntut di sebuah kolej pula seorang yang manja. Oleh kerana pernah menjadi mangsa ragut, dia tekad untuk belajar seni mempertahankan diri, namun hatinya terpaut kepada pemilik kelas karate itu, Faiz.