Monitor bebas kerlipan pertama di dunia


DUA orang model menunjukkan monitor LED BenQ yang membawa revolusi bahawa dalam teknologi monitor.


SINDROM penglihatan komputer (CVS) seperti mata kekeringan, penat dan kabur banyak dialami pengguna komputer yang menggunakannya dalam tempoh lama.

Kini, pengguna mempunyai pilihan bagi mengelakkan sindrom tersebut dengan menggunakan monitor terbaharu keluaran pengeluar barangan digital, BenQ Corporation.

Monitor diod pemancar cahaya (LED), BenQ GW2760HS VA itu mempunyai teknologi bebas kerlipan dan mod bacaan Senseye yang pasti menjanjikan satu pilihan lebih sihat. Ia merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Skrin komputer paparan hablur cecair (LCD) sering dianggap sebagai monitor bebas kerlipan, tetapi sebenarnya ia masih ada dan datang daripada cahaya belakang (backlight).

Teknologi yang digunakan dalam paparan monitor itu adalah pada sebuah panel di bahagian belakang yang mengandungi litar untuk kestabilan.

Ia mengurangkan kerlipan pada skrin dengan memasukkan sejenis mekanisme pada cahaya belakang LED dan bekalan kuasa.

Panel tersebut mengandungi litar yang direka khas dan sebuah cip kecil yang dapat menala sistem pada tahap terbaik.

Selain itu, pengawalan litar cahaya belakang BenQ yang unik dapat membuang kerlipan pada cahaya belakang LED pada semua tahap kecerahan.