Empat keluarga mangsa ribut terima bantuan


NOH (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan keperluan harian kepada salah seorang mangsa ribut, Sharuddin Mohd. Aini (tengah) di Tanjung Karang baru-baru ini.


BANTUAN. Empat keluarga mangsa ribut dan kebakaran di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan daripada Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanjung Karang baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya juga akan membantu mangsa terlibat membina semula rumah baharu di tapak sama berikutan kediaman mereka musnah hampir 90 peratus.

Menurut beliau, kos asas pembinaan sesebuah rumah baharu dianggarkan berjumlah RM10,000 dan ia diberikan mengikut keadaan rumah mangsa.

"Pembinaan kediaman baharu ini dijangka dapat disiapkan pada bulan depan dan berharap empat keluarga tersebut boleh segera berpindah," katanya ketika melawat salah sebuah rumah mangsa ribut di kampung tersebut.