Santorini seindah gambar poskad


LANDSKAP dan seni bina bangunan klasik menghiasi pemandangan bandar Oia.


PERJALANAN menaiki pesawat tambang murah, EasyJet ke Santorini, Greece dari Lapangan Terbang Gatwick, London, United Kingdom mengambil masa selama tiga jam 40 minit.

Santorini terletak dalam kepulauan Cyclades iaitu kira-kira 200 kilometer di tenggara Athens, ibu negara Greece. Pulau itu mempunyai gunung berapi di tengah Laut Aegan yang menjanjikan pemandangan yang sangat mengagumkan.

Kedudukannya ialah di tebing gunung berapi yang dikelilingi cenuram pada ketinggian kira-kira 300 meter dari paras laut.

Pelancong ke Pulau Santorini boleh memilih tiga kaedah pengangkutan untuk ke bahagian tertinggi pulau itu iaitu menaiki bot, kereta kabel atau kapal terbang yang mendarat di Lapangan Terbang Thira.

Percutian saya dan rakan-rakan di pulau itu bermula di bandar Fira. Di situ, saya menginap di Angel Studios iaitu sebuah hotel kecil yang diusahakan oleh tiga generasi wanita berketurunan Greek.

Tiga hari menginap di situ, bayarannya hanya 75 euro (RM312) termasuk sarapan pagi yang enak. Mereka melayan kami seperti keluarga.

Fira merupakan sebuah bandar utama di Santorini yang terletak di cerun bukit yang berlatarbelakangkan permandangan Laut Aegan. Bandar itu juga terkenal dengan konsep bangunannya yang serba putih dan berlapis-lapis di sepanjang cenuram.

Kedudukan Fira yang terletak di kawasan tinggi memerlukan kami menaiki kira-kira 700 anak tangga. Walaupun penat, habuannya amat berbaloi kerana pemandangan di puncak sangat cantik.

Sekitar bandar Fira terdapat banyak restoran yang menghidangkan pelbagai makanan tradisi Greek yang kebanyakannya berunsur Mediterranean. Kebanyakan makanan yang dihidangkan diperbuat daripada sayur-sayuran seperti terung dan tomato.

Di tebing bukit bandar itu, kelihatan deretan kafe kecil yang dihias indah serta serba moden untuk pelancong berehat atau menikmati secawan kopi dan sepotong kek sambil melihat pemandangan indah.


PELABUHAN Fira merupakan platform membawa pelancong ke kawasan gunung berapi di Santorini.


Di situ juga merupakan tempat yang paling sesuai untuk pelancong membeli cenderamata atau barangan yang diusahakan oleh penduduk tempatan seperti manisan dan baju yang dibuat daripada kapas Greek.

Pada hari kedua, saya dan rakan-rakan mengambil khidmat pemandu pelancong yang disediakan oleh agensi pelancongan di Fira. Kami mengambil pakej berharga RM79 yang menawarkan lawatan ke gunung berapi dan kolam air panas.

Pemandangan Laut Aegan amat indah pada waktu pagi. Panorama laut yang tenang dipenuhi kapal, feri besar dan bot laju yang membawa pelancong menggamit perhatian saya.

Untuk ke pelabuhan, pelancong perlu ke puncak bandar Fira. Pelancong juga mempunyai dua pilihan untuk ke pelabuhan iaitu menaiki kereta kabel atau keldai dengan bayaran RM17 dan RM20 seorang. Keldai merupakan antara pengangkutan utama rakyat di kepulauan Santorini ini untuk mengangkut barang dari pelabuhan yang terletak di pulau ke bandar.

Setibanya di pulau, saya dan rakan-rakan menaiki kapal pelantar terbuka yang mempunyai hiasan dalaman kayu eksklusif. Ia sangat sesuai bagi mereka yang gemar berjemur di bawah cahaya matahari.

Gunung berapi

Perjalanan pertama kami ke kawasan gunung berapi mengambil masa kurang 20 minit. Untuk memasuki kawasan gunung berapi dikenakan bayaran sebanyak RM16 seorang. Pemandu pelancong membawa kami melawat kawasan gunung berapi dan kawah air panas di puncak gunung. Disebabkan tidak memakai kasut yang sesuai, saya tidak menyertai lawatan itu.

Walaupun tidak berpeluang ke gunung berapi, saya sempat merendamkan kaki ke dalam kolam kecil yang mempunyai mineral yang baik untuk kulit.

Selepas itu, rombongan kami dibawa ke kolam air panas yang terletak kira-kira 10 minit dari gunung berapi. Kawasan cetek di sekitar kolam air panas membuatkan bot berhenti agak jauh dan pelancong perlu terjun ke dalam kolam itu.

Menurut pemandu pelancong, kawasan kolam itu dipercayai menjadi panas akibat wap panas yang dihasilkan dari gunung berapi. Kini, gunung berapi itu tidak aktif dan merupakan salah satu tarikan pelancong untuk melihat air kolam yang berwarna jingga.


LORONG-LORONG kecil di sekitar bandar Fira menjadi destinasi beli-belah untuk pelancong.


Kemudian, kami dibawa ke Thirassia iaitu sebuah pulau berasingan dan terdiri daripada perkampungan kecil di tepi laut. Lokasi itu mempunyai beberapa restoran dan gerai-gerai kecil menjual barangan tempatan.

Gerai yang menjual batu karang yang boleh dijadikan sepan merupakan produk yang menarik perhatian saya. Ia amat lembut dan dijual dalam pelbagai saiz dengan harga RM8.

Kemudian, kami dibawa ke Oia atau cara sebutannya e-ya. Oia merupakan bandar kedua terkenal di Santorini. Landskap serta seni bina bangunan di Oia kelihatan sama seperti di Fira, tetapi Oia lebih tenang dan kurang menjadi tumpuan.

Keindahan Pantai Kamari

Pada hari terakhir percutian di Santorini, kami ke Pantai Kamari. Pesisiran pantainya dipenuhi pasir dan batu-batu kecil berwarna hitam sehingga ia digelar Black Beach.

Di tepi pantai, terdapat deretan kerusi beratap nipah milik restoran untuk disewakan kepada pelancong. Bagi saya, Pantai Kamari amat sesuai untuk mereka yang inginkan kedamaian dan mahu beristirehat.

Urutan dalam gazebo merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong selain aktiviti seperti jet ski dan kapal layar. Kebanyakan pelancong memilih untuk melakukan riadah itu pada waktu petang sambil menikmati pemandangan tepi pantai.

Kami juga berpeluang menikmati hidangan makan tengah hari di sebuah restoran yang menyediakan ikan bakar seperti di Malaysia.

Antara destinasi lain yang sempat saya kunjungi di Santorini ialah Pantai Kokkini, Pantai Aspri dan Pantai Privolos. Pantai itu hanya mengambil masa 20 minit perjalanan dari bandar Fira. Kebanyakan pelancong di Santorini gemar menyewa ATV untuk menjelajah kawasan itu.

Santorini merupakan sebuah pulau yang mempunyai pemandangan cantik. Seni bina dan budayanya juga berbeza dengan kebanyakan negara Eropah. Saya amat berpuas hati dapat melihat keindahan Santorini dengan mata sendiri dan ternyata gambarannya sama seperti apa yang saya lihat dalam poskad.