Pasukan mana bakal juara?


LIONS XII kini mendahului carta Liga Super dengan mengutip 40 mata selepas mengharungi 20 perlawanan musim ini.


DEBARAN final Piala FA sudah pun berakhir dengan Kelantan berjaya mempertahankan gelaran selepas menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

Kini, perhatian peminat bola sepak tempatan kembali terarah kepada saingan Liga Super yang hanya berbaki dua perlawanan lagi untuk diharungi musim ini.

Atas kertas, Lions XII dilihat hanya menunggu masa dinobatkan sebagai juara apabila menerajui liga dengan 40 mata dan dijangka tidak berdepan masalah membenam cabaran Felda United di laman sendiri malam ini.

Pada masa sama, dua pencabar terdekat, Johor DT dan Selangor, kedua-duanya kini mengutip 36 mata juga pastinya enggan ‘mengibarkan bendera putih’ terlalu awal.

Skuad Harimau Selatan di bawah kendalian Fandi Ahmad pastinya mahu mengutip tiga mata berharga ketika berdepan pasukan tercorot, Negeri Sembilan di tempat lawan, malam ini sebagai pengubat kekecewaan pada final Piala FA, selain turut memburu kemenangan ketika melayan kunjungan Selangor Sabtu ini jika berhasrat mahu memintas kedudukan Lions XII.

Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pula lebih bersikap realistik dan menjadikan slot Piala AFC musim depan sebagai keutamaan selepas terkandas di pusingan kedua apabila dikecewakan kelab Maldives, New Radiant FC musim ini.

“Berada di tangga kedua Liga Super sudah cukup bagus untuk Selangor dan fokus kami adalah untuk terus memburu slot Piala AFC tahun depan.

“Saya tidak tahu sama ada Felda United mampu mengejutkan Lions XII di gelanggang lawan (malam ini) tetapi segala-galanya bakal terjawab pada aksi terakhir Liga Super Sabtu ini,” kata Irfan baru-baru ini.

Malam ini, skuad Gergasi Merah bakal melayan kunjungan T-Team di Stadium Shah Alam dan tiga mata penting menjadi buruan anak-anak buah Irfan bagi mengelak dipintas Johor DT pada saat-saat akhir.

Ini kerana slot Piala AFC musim depan masih berada dalam genggaman Selangor jika muncul naib juara Liga Super musim ini ekoran status Lions XII sebagai pasukan jemputan.

Satu lagi slot Piala AFC musim depan pula menjadi milik juara Piala FA 2013, Kelantan.

Dalam pada itu, pasukan di tempat keempat liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini mengutip 34 mata juga dilihat masih ‘bernafsu’ memberikan cabaran apabila berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan berdepan Pahang malam ini.

Skuad kendalian B. Sathianathan dilihat masih berpeluang untuk menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara jika berjaya mengutip enam mata maksimum termasuk menewaskan Perak, Sabtu ini dengan syarat Selangor dan Johor DT keciciran mata penting dalam dua perlawanan terakhir.

“ATM mesti menamatkan saingan liga musim ini dalam kelompok tiga pasukan teratas,” tegas Sathianathan.