Teh tarik blog Coolblog

TEH tarik menjadi taruhan terbaharu Coolblog dalam rangkaian produk ice blended mereka.


MINUMAN kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik kini boleh dinikmati dalam bentuk ice blended. Syarikat pengeluar ice blended tempatan, Coolblog menjadi perintis kepada minuman tersebut.

Selepas kejayaan Coolblog memperkenalkan minuman ice blended berkonsepkan ais batu campur, cendol dan lai chi kang, teh tarik blog dilihat bakal menjadi pilihan utama peminat mereka.

“Sekitar 80 peratus pelanggan kami terdiri daripada orang Melayu dan kami yakin pengenalan minuman teh tarik blog ini dapat mengukuhkan lagi kepercayaan mereka terhadap Coolblog.

“Bagi menambah keenakan kepada teh tarik blog, pelanggan digalakkan menambah topping khas minuman ini iaitu jeli kopi.

“Kami mempunyai seleksi topping yang berbeza tetapi untuk minuman baharu ini, jeli kopi adalah paduan yang terbaik,” ujar Pengurus Pengiklanan dan Operasi Coolblog Dessert Sdn. Bhd., Winson Keh ketika majlis pelancaran teh tarik blog di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tambah Winson, pelanggan juga boleh cuba menggabungkan teh tarik blog bersama topping lain seperti black pearl dan jeli rainbow.

Pada pelancaran itu juga, Coolblog memperkenalkan topping baharu iaitu jeli kranberi. Topping tersebut melengkapi variasi topping sedia ada seperti mangga, rainbow, epal hijau, laici dan kopi.

Sejajar dengan pelancaran teh tarik blog, Coolblog turut melancarkan barangan eksklusif mereka berupa baju T bertemakan Fly My Dream. Sebahagian hasil jualan item berharga RM30 itu telah pun disalurkan kepada Kiwanis Down Syndrome Foundation.

Selamat diminum

Sementara itu, kontroversi berkenaan penggunaan tapioca balls atau tapioca pearls dalam rangkaian minuman bubble tea di Malaysia turut menempiasi Coolblog. Sebagai antara pengeluar minuman bubble tea dan ice blended tempatan, Coolblog juga tidak terlepas daripada dibadai masalah tersebut.

“Masyarakat perlu tahu bahawa minuman bubble tea berasal dari Taiwan. Bahan-bahan minuman jenis ini juga diperoleh dari Taiwan tetapi pembekal Coolblog tidak tersenarai dalam pembekal yang terlarang.

“Kami melakukan ujian makmal setiap tiga bulan ke atas bahan-bahan gunaan Coolblog. Setakat ini semua minuman kami selamat diminum dan bebas daripada kandungan asid maleik,” jelas Winson.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari syarikat Wang Tai di Taiwan menarik balik produk makanan tersebut daripada pasaran Malaysia kerana mengandungi asid maleik yang boleh merosakkan buah pinggang.

Namun beberapa syarikat lain seperti Each-A-Cup Sdn. Bhd., telah dibenarkan menjual semula produk makanan round balls each a cup yang digunakan dalam penyediaan minuman bubble tea selepas disahkan bebas daripada asid maleik.

Turut hadir pada acara pelancaran teh tarik blog tersebut ialah duta Coolblog, Heliza Helmi yang merupakan pelakon, penyanyi dan pengacara tempatan.

Minuman teh tarik blog kini boleh diperoleh di hampir 300 cawangan Coolblog di seluruh Malaysia pada harga RM2.80 dan RM3.40 (bersama topping).