Alberta dikepung air bah


PENDUDUK mengalami kerugian besar selepas banyak harta benda mereka musnah.


KIRA-KIRA 100,000 penduduk di barat Kanada terpaksa berpindah ke pusat pemindahan gara-gara hujan lebat sehingga menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di wilayah Alberta baru-baru ini.

Bencana itu juga menyebabkan air sungai di sekitar wilayah berkenaan berada di paras bahaya selain berlaku tanah runtuh menyebabkan Lebuh Raya Trans-Kanada terpaksa ditutup.

Ia sekali gus turut memutuskan hubungan pusat peranginan Banff dan Canmore.

Selain itu, kebanyakan rumah, bangunan dan jalan raya musnah akibat bencana berkenaan.

Seorang penduduk tempatan, Sylvia George, 45, berkata, dia kehilangan segala-galanya dalam kejadian itu.

"Banjir yang dahsyat ini telah merampas segala-gala yang saya ada terutamanya harta benda," kata ibu kepada lima orang anak itu yang rumahnya terletak di Cougar Creek, Canmore, Alberta.

Kakitangan swasta itu bersama keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman mereka pada 20 Jun lalu selepas paras air sungai melimpah dan memaksa mereka tinggal dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Paras air meningkat sehingga lima meter mencecah siling rumah kami. Saya tidak pernah menjangkakan banjir pada tahun ini begitu buruk apatah lagi, air naik dengan begitu pantas. Kami tidak sempat berbuat apa-apa," tuturnya yang kini tinggal di pusat pemindahan mangsa banjir di wilayah berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper menyifatkan banjir kali ini merupakan sesuatu yang luar biasa.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 1,300 anggota tentera dihantar ke zon banjir bagi menyelamatkan mangsa yang terkandas.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Agensi Kecemasan, Bruce Burrell memberitahu, paras air Sungai Bow dijangka tidak akan surut sehingga beberapa hari.

Keadaan itu bergantung kepada sejauh mana keadaan banjir berkenaan melanda memandangkan terdapat kawasan bandar yang langsung tidak boleh dimasuki.

Selain itu, Pegawai Alam Sekitar Kanada, Patricia Neely berkata, amaran hujan bagi kawasan yang terjejas telah dikeluarkan. Dia menganggarkan hujan turun sebanyak 100 milimeter atau lebih dalam tempoh beberapa hari.


MANGSA banjir terpaksa menunggu bantuan makanan dan pakaian di pusat pemindahan.


Kesan

Kerajaan Kanada masih tidak dapat menjangkakan nilai kerugian akibat bencana itu.

Bagaimanapun, syarikat pelaburan, BMO Capital Markets menggangarkan wilayah itu kerugian hampir AS$5 bilion (RM15.8 bilion).

Seorang pakar ekonomi, Jonathan Bendiner berkata, anggaran itu berasas seiring dengan kemusnahan yang berlaku di wilayah barat Kanada.

Malah, banyak sektor yang terjejas seperti sektor perkhidmatan, pengangkutan dan pergudangan.

Seorang penduduk, Charlotte Jackson, 35, pula mengakui dia tidak boleh meluahkan kemarahannya ekoran kejadian itu kerana semuanya berlaku dengan pantas.

"Kini, kami seolah-olah terpaksa memulakan hidup baharu dan membina apa yang perlu. Itu sahaja yang boleh dilakukan sekarang.

"Jika saya tidak bersikap positif, ia sukar untuk saya melalui saat getir ini. Jadi, saya harus meneruskan kehidupan seperti biasa dan menggangap semua ini ujian daripada Tuhan," katanya dalam nada kesal.

Dengan air bah yang mula surut sejak Ahad lalu, kira-kira 5,000 penduduk mula dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, namun ratusan ribu lagi masih berlindung di pusat pemindahan.

Bagi kawasan perumahan yang terjejas teruk, penduduk mungkin hanya dibenarkan pulang selepas lima minggu lagi.

Melihat kemusnahan di wilayah berkenaan, kerajaan Alberta mengumumkan agar penduduk Calgary membuat permohonan bantuan untuk membiayai kerosakan harta benda.

Menteri Pengangkutan Alberta, Ric McIver berkata, pihaknya berjanji untuk membina semula wilayah itu dalam tempoh terdekat ini.

"Kami bermula dengan memastikan orang ramai berpindah ke rumah masing-masing dengan selamat dan seterusnya menumpukan kepada kerja-kerja pembinaan infrastruktur," ujarnya.