Umrah bersama MASHolidays


SINDIKET penipuan umrah meranapkan harapan para jemaah untuk beribadah di Tanah Suci. - Gambar hiasan


TANAH Suci Mekah pasti menjadi destinasi impian majoriti umat Islam. Biar negara lain indah dengan seni bina agung atau dilimpahi keindahan alam semula jadi, keistimewaan lokasi kiblat seluruh umat Islam itu sukar ditandingi.

Saban tahun, Baitullah dikunjungi jutaan umat Islam yang ingin mengerjakan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji selain umrah semata-mata mencari keredaan Allah. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika banyak ejen umrah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam keghairahan umat Islam menziarahi Tanah Suci itu, ada pula segelintir pihak yang menangguk di air keruh. Jumlah mereka yang tersadai di lapangan terbang akibat ditipu bukan sedikit. Berdasarkan rekod Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), kira-kira 76,000 aduan difailkan di seluruh negara berkaitan kes penipuan perkhidmatan pakej umrah sejak ia ditubuhkan 13 tahun lalu.

Justeru, menjadi tanggungjawab para jemaah untuk mencari agensi yang berdaftar bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket haram.

Penambahbaikan pakej

Prihatin dengan masalah tersebut, cabang pelancongan Penerbangan Malaysia (MAS), MASHolidays tampil dengan pakej Lambaian Umrah bagi memenuhi keperluan para jemaah.

Menurut Pengurus Kanan MASholidays, Fadhilah Mustaffa, orang ramai tidak perlu ragu-ragu dengan pakej yang ditawarkan kerana ia diperkenalkan sejak tahun 1995.

“Meskipun sudah hampir 17 tahun berada dalam pasaran, ramai yang tidak mengetahuinya. Sehubungan itu, kami cuba memperkenalkan kembali pakej tersebut dengan membuat beberapa penambahbaikan seperti pengisian modul oleh mutawif berpengalaman,” ujarnya ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Fadhilah, bersempena bulan Ramadan, para jemaah boleh merebut peluang melalui lima penerbangan ke Tanah Suci.

Mereka boleh memilih dua pakej istimewa iaitu Jannah dan Firdaus yang berbeza dari segi pengisian, jumlah hari, jarak hotel dan lain-lain.


FADHILAH memberi jaminan jemaah bakal berpuas hati dengan pakej Lambaian Kaabah yang ditawarkan oleh MASHolidays.


Pakej umrah tersebut berharga serendah RM6,000 untuk Jannah atau RM8,600 bagi Firdaus.

Pakej Firdaus sesuai buat mereka yang ingin meluangkan masa panjang dan pada masa sama mengikuti pengisian modul khas. Antaranya Cinta Allah dan Rasul, Pemantapan Solat dan Kaunseling Keluarga yang akan dikendalikan oleh Ustaz Zawawi Yusoff.

Para jemaah akan berada di Tanah Suci selama 13 hari 11 malam bermula 12 Julai hingga 23 Julai 2013.

Jarak di antara hotel dan masjid menjadi keutamaan kepada sesetengah jemaah terutamanya golongan berusia dan mereka yang mempunyai anak kecil. Pakej Firdaus menekankan aspek ini melalui pemilihan hotel berdekatan atau setara iaitu 100 meter untuk ke Masjid Nabawi di Madinah dan 60 meter dari Masjidil Haram di Mekah.

“Bagi pakej Jannah, jemaah akan ditempatkan di hotel berhampiran dengan jarak 190 meter dari Masjid Nabawi, manakala jarak penginapan ke Masjidilharam ialah 300 meter.

“Para jemaah juga sempat merasai berpuasa di Tanah Suci iaitu selama dua hari di Madinah. Pakej ini bermula dari 2 Julai hingga 12 Julai melalui penerbangan terus ke Jeddah,” ujar Fadhilah.

Pakej Jannah lebih padat dan singkat kerana jemaah perlu melakukan yang wajib dan melakukan ziarah ke destinasi-destinasi penting sahaja.

MASHolidays amat mementingkan kebajikan dan keselesaan jemaah dengan mengehad ahli rombongan seramai 40 hingga ke 45 orang sahaja.

“Jumlah rombongan yang terhad memberi peluang kepada jemaah untuk merasai keselesaan sepanjang berada di sana. Rombongan yang terlalu besar menyukarkan mutawif untuk berhubung terus kepada jemaah jika berlaku sebarang kesulitan,” tambah Fadhilah.

Selain itu, para jemaah diberikan elaun bagasi sebanyak 30 kilogram dan 10 liter air zamzam bagi seorang jemaah. Soal pemakanan tidak perlu dibimbangkan kerana mereka dihidangkan makan dan minum tiga kali sehari.