Tangga kelima Liga Hoki Dunia milik Malaysia

07/07/2013 8:47pm

SUKAN: MALAYSIA mengakhiri cabaran pada Liga Hoki Dunia di tangga kelima selepas menundukkan Jepun 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa sebenar di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru petang tadi.

Kedudukan kelima itu merupakan sasaran terbaharu skuad negara selepas impian untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada Jerman 0-6 pada aksi suku akhir Khamis lalu.

Pada aksi semalam, skuad negara bermula cemerlang apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim.

Begitupun, Jepun menyamakan kedudukan pada minit ke-28 melalui pukulan sudut penalti Shinji Kawauchi.

Ketika penentuan pukulan penalti, dua gandingan beradik, Faizal Saari dan Mohd. Fitri Saari selain Mohd. Shahrun Nabil Abdullah serta Muhammad Firhan Ashaari bertindak cemerlang apabila berjaya menghadiahkan gol buat negara manakala penjaga gol, S.Kumar menafikan cubaan dua pemain Jepun, Heita Yoshihara dan Kei Kawakami untuk memastikan kemenangan buat Malaysia. - KOSMO!