Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM medan pilih wakil ke kejohanan Asia 2014

07/07/2013 9:24pm

KUALA LUMPUR - Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM akan menjadi medan pemilihan pasukan untuk mewakili negara ke Kejohanan Liga Futsal Asia 2014 di Vietnam.

Liga Futsal Kebangsaan akan bermula 18 Ogos ini hingga Disember.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal Dan Bola Sepak Pantai, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalid berkata, liga tahun ini akan diadakan dalam format baharu untuk menjadikannya lebih kompetitif.

Berdasarkan format baharu, 16 pasukan lelaki dan 14 pasukan wanita akan terlibat dengan permainan timbal balik berbanding sebelum ini yang hanya diadakan secara karnival.

"Kita mahu pasukan yang betul-betul layak (mewakili Malaysia), katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Undian Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM yang melibatkan tajaan sebanyak RM5 juta oleh Felda di sini hari ini.

Hamdan berkata, pengambilan pemain import dalam pasukan diharapkan dapat menyuntik daya saing tinggi di kalangan pemain. - Bernama