Dulu pelukis ilustrasi kini penulis novel

ENCHELAH berjaya menyiapkan Lembayung Cinta dalam masa dua bulan.


GRADUAN jurusan Seni Reka Grafik dari Institut Teknologi Mara (ITM), Enche Abdullah Abdul Kadir, 49, atau mesra disapa Enchelah memulakan kerjaya sebagai pereka bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1989 hingga 1993.

Sepanjang bertugas di DBP, selain bertanggungjawab menghasilkan kulit muka hadapan buku, beliau juga berpeluang membuat ilustrasi buku cerita kanak-kanak.

Selepas berhijrah ke Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini membuat keputusan menulis blog wwwenche.blogspot.com yang menceritakan tentang skop tugasnya di ITBM.

Menurut Enchelah, trend kegilaan masyarakat membaca blog-blog di laman maya membakar semangatnya untuk menulis.

“Justeru, saya turut menyelitkan kisah hidup sendiri yang ditulis dalam bentuk diari. Setiap hari saya sentiasa mengemas kini laman blog tersebut termasuk mengendalikan segmen pantun dan puisi yang sentiasa mendapat sambutan.

“Melalui blog inilah, saya berkenalan dengan seorang penulis novel, Norzailina Nordin yang banyak memberi dorongan pada saya untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan,” ujar Enchelah mengenai detik awal sebelum bergelar penulis.

Selepas mempelajari teknik menyiapkan novel daripada Norzailina dalam aspek membuat sinopsis keseluruhan, plot atau jalan cerita dan membina watak, Enchelah terus memulakan karya sulungnya yang berkonsepkan kisah hidupnya.

Bagaimanapun, iklan peraduan menulis novel remaja anjuran sebuah syarikat penerbitan membuat Enchelah dalam dilema.

Beli komputer riba

“Ketika itu, hati saya berbolak-balik sama ada untuk menyiapkan novel kisah sendiri yang 90 peratus siap atau menulis novel remaja.

“Setelah fikir masak-masak, saya terus menghentikan penulisan novel tersebut. Dalam tempoh dua bulan, saya berjaya menyiapkan novel remaja bertajuk Lembayung Cinta,” jelas Enchelah yang mendisiplinkan diri menulis setiap hari.

Dalam usaha menyiapkan novelnya, Enchelah sanggup mengeluarkan wang untuk membeli sebuah komputer riba dan akan menaip draf cerita sewaktu makan tengah hari di luar pejabat.

Selepas mendapat ilham untuk menulis, beliau akan mencatatnya di atas kertas dan menyimpannya sebelum disemak semula di rumah.

Demi cinta yang mendalam terhadap dunia penulisan, Enchelah sanggup menyendiri daripada bersantai bersama kawan-kawan pada waktu senggang semata-mata untuk menyiapkan novel Lembayung Cinta.

“Alhamdulillah, pengorbanan saya terbalas jua apabila novel pertama terpilih antara lima pemenang hadiah penghargaan dalam peraduan tersebut,” jelasnya sambil tersenyum.

Sebuah lagi novel remaja yang dihasilkan oleh Enchelah bertajuk Puteri 9 Sepuluh. Ia diterbitkan pada 2012 oleh Pelangi Novel Sdn. Bhd.

Selain itu, buku bergambar Puteri Saadong yang dihasilkan Enchelah turut diterbitkan oleh ITBM dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris serta Jepun. Buku tersebut telah dibawa ke Pesta Buku Kanak-Kanak 2013 yang berlangsung di Bologna, Itali pada Mac lalu.

Naskhah Puteri Saadong juga telah dibawa ke Singapura pada akhir Mei lalu sempena Festival Kandungan Kanak-Kanak Asia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Enchelah, layari blog wwwenche.blogspot.com atau facebook.com/enchelah.