Iftar amal bersama Aman Palestin


ANAK-ANAK yatim turut diraikan pada Majlis Iftar Amal di Hotel Grand Blue Wave.


BERSEMPENA dengan bulan Ramadan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) yang berperanan memberi pertolongan dan sokongan kepada rakyat Palestin mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia dalam Majlis Iftar Amal.

Majlis tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu umat Islam di bumi para syuhada itu. Ia diadakan di dua lokasi berbeza iaitu Hotel Residence, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi dan Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, Selangor.

Bagi majlis iftar di Hotel Residence, ia dianjurkan oleh Aman Palestin dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Majlis berbuka itu diadakan pada 20 Julai ini bagi mengisi tabung membaik pulih masjid yang menjadi kebanggaan umat Islam di bumi Palestin iaitu Masjid Al-Aqsa.

Sementara itu, majlis iftar kedua di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam pula berlangsung pada 3 Ogos bertujuan mengumpul dana untuk tabung wanita dan kanak-kanak di negara tersebut.


RAKYAT Malaysia berpeluang membantu kanak-kanak dan wanita Palestin melalui penyertaan dalam Majlis Iftar Amal anjuran Aman Palestin.


Pihak Aman Palestin turut mengadakan tayangan multimedia, pidato dan bacaan ayat al-Quran sebagai acara selingan sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Bagi iftar di Hotel Residence, majlis itu akan disertai sekurang-kurangnya 500 penyumbang dari sekitar Kajang dan Bangi. Bagi iftar di Hotel Grand Blue Wave pula, seramai 30 orang anak-anak yatim dari Lembah Klang akan turut serta.

Selain untuk mengumpul dana, Majlis Iftar Amal itu mahu mengajak umat Islam di Malaysia menghayati erti ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Aman Palestin amat berharap dengan majlis iftar itu, rakyat Malaysia dapat menghayati perjuangan umat Islam Palestin mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Imam muda dari Gaza yang menyertai majlis itu akan mengimamkan solat sunat tarawih. Mereka terdiri daripada Khaled Abu Aathraah, Waleed Mustofa, Abed Barzaq dan Islam Diab Qanitoh.