Pucuk muda laris di Hollywood

DEMI MOORE sudah bercerai dengan suami mudanya, Ashton Kucther.


PERCINTAAN antara selebriti wanita terkenal dengan lelaki muda merupakan sesuatu yang lumrah di Hollywood.

Ternyata jarak usia yang terjalin antara pasangan masing-masing bukanlah penghalang untuk menjalinkan hubungan serius, malah ada hubungan beberapa pasangan yang bertahan sehingga sekarang.

Berikut senarai selebriti wanita dan pasangan kekasih muda masing-masing.

1. Elizabeth Taylor & Larry Fortensky

Pelakon legenda , mendiang Elizabeth Taylor merupakan antara selebriti Hollywood yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak lapan kali sepanjang hayatnya.

Suami pertamanya, Conrad Hilton Jr. merupakan seorang ahli perniagaan yang cukup terkenal. Mereka berkahwin pada tahun 1950, tetapi jodoh kedua-duanya tidak panjang dan bercerai setahun kemudian.

Kemudian pelakon sensasi kelahiran London, England itu berkahwin dengan beberapa lelaki lain. Namun begitu, sesuatu yang cukup menarik perhatian berhubung dengan perkahwinan terakhirnya pada tahun 1991.

Ketika itu Elizabeth yang berusia 59 tahun membuat keputusan memilih seorang buruh binaan, Larry Fortensky yang baru berusia 39 tahun menjadi suaminya. Perkahwinan mereka cuma bertahan lima tahun dan bercerai pada tahun 1996.

2. Tina Turner & Erwin Bach

Hubungan cinta yang terjalin antara penyanyi popular Tina Turner yang sudah berusia 73 tahun dengan seorang penerbit kelahiran Jerman, Erwin Bach bukanlah menjadi satu rahsia buat para peminatnya.

Bagaimanapun, pada bulan Mac lalu sebuah akhbar dari Switzerland, Blick melaporkan Tina dan Erwin telah mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

Menariknya, akhbar tersebut menyatakan pasangan itu sudah lama menjalinkan hubungan cinta dan tinggal bersama-sama di Switzerland sejak 18 tahun lalu. Erwin yang kini berusia 56 tahun dikatakan mengambil masa dua tahun untuk melamar Tina.

Sebelum ini penyanyi yang dikenali menerusi lagu Simply The Best itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Ike Turner pada tahun 1962 dan bercerai 16 tahun kemudian.

3. Madonna & Brahim Zaibat

Pada usia yang bakal mencecah 55 tahun pada Ogos ini, penyanyi sensasi Madonna dilihat masih mampu lagi mengekalkan kejelitaannya serta berpenampilan menarik.

Jadi, tidak hairanlah pemilik nama sebenar Madonna Louise Ciccone ini menjadi tarikan lelaki muda. Ketika ini penyanyi tersebut menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penari yang dikenali sebagai Brahim Zaibat.

Biarpun ramai yang beranggapan bahawa Madonna kelihatan seperti seorang ibu kepada Brahim yang baru berusia 26 tahun, namun bukan halangan buat kedua-duanya menjalinkan hubungan yang lebih serius sebagai pasangan kekasih.

Madonna dan Brahim dikatakan mula keluar berdua-duaan setelah berkenalan pada tahun 2010. Perkenalan mereka bermula ketika Brahim menjadi penari semasa majlis pelancaran single terbaharu Madonna berjudul Material Girl yang berlangsung di New York.


MADONNA bersama kekasih mudanya, Brahim Zaibat.


4. Mariah Carey & Nick Cannon

Jika dalam perkahwinan pertamanya dahulu penyanyi Mariah Carey memilih jejaka yang lebih berusia, untuk perkahwinan kedua pula lelaki lebih muda telah menjadi pilihan hatinya.

Pada tahun 1993, Mariah yang ketika itu baru berusia 23 tahun telah mengambil keputusan drastik mendirikan rumah tangga dengan seorang pengarah muzik berusia 44 tahun, Tommy Mottola.

Namun begitu, perkahwinan Mariah dan Tommy tidak berkekalan apabila mereka bercerai pada tahun 1998. Selepas menjanda selama 10 tahun, Mariah membuat keputusan untuk mengahwini pelakon dan penyanyi Nick Cannon yang muda 10 tahun daripada dirinya. Mereka kini telah dikurniakan sepasang anak kembar iaitu Moroccan dan Monroe yang kini berusia dua tahun.

5. Jennifer Lopez & Casper Smart

Setelah tiga kali gagal dalam perkahwinannya yang terdahulu, penyanyi dan pelakon popular Jennifer Lopez, 43, telah menjalinkan hubungan dengan Casper Smart yang baru berusia 25 tahun dan merupakan bekas penarinya sendiri.

Menariknya, dalam satu kenyataannya kepada majalah People pada awal tahun ini, Jennifer telah meluahkan bahawa dia berasa agak risau untuk menjalinkan hubungan dengan jejaka yang muda 18 tahun berbanding dirinya.

Bagaimanapun, bekas juri rancangan American Idol itu mengakui dia selesa sepanjang bercinta dengan Casper. Jejaka tersebut sering menjadi tempatnya meluahkan perasaan ketika dia berhadapan masalah dengan bekas suaminya iaitu penyanyi Marc Anthony.

6. Demi Moore & Ashton Kutcher

Demi Moore merupakan seorang lagi pelakon wanita popular Hollywood yang selalu mencuri tumpuan ramai terutamanya mengenai kisah perkahwinan yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Dalam perkahwinannya yang pertama pada tahun 1980, Demi telah mendirikan rumah tangga semasa berusia 18 tahun dengan memilih penyanyi Freddy Moore, tetapi mereka bercerai lima tahun kemudian.

Dia mengahwini aktor popular Bruce Willis setelah dua tahun bergelar janda. Sepanjang perkahwinan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Rumer, 25, Scout, 22 dan Talullah, 19.

Namun, mereka bercerai 13 tahun kemudian. Pada 2003, Demi menjalinkan hubungan dengan aktor Ashton Kutcher yang muda 16 tahun daripada usianya.

Dua tahun kemudian mereka berkahwin sebelum akhirnya bercerai pada tahun lalu.