'Bagi Paul masa untuk berehat'


IMBAS... Revington dikerumuni pihak media sejurus mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkeples Embong di Bukit Jalil 18 Jun lalu.


NAIB Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad yakin jurulatih, Paul Revington akan terus kekal membimbing skuad negara sehingga Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Keyakinan Nur Azmi itu sudah pasti menghadirkan sedikit kelegaan kepada barisan pemain dan peminat hoki tanah air selepas tercetusnya isu kontroversi peletakan jawatan Revington dua minggu sebelum Liga Hoki Dunia berlangsung di Johor Bahru.

Bagaimanapun, semuanya masih belum terjamin selagi Revington sendiri belum mengesahkan mengenai pendiriannya itu.

Justeru, Nur Azmi menasihatkan supaya peminat hoki negara memberi sedikit ruang dan masa kepada Revington agar jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu tidak terlalu tertekan membuat keputusan dengan situasi yang dihadapinya ketika ini.

“Saya yakin Paul akan terus bersama skuad hoki kita seperti yang dipersetujui dalam kontraknya iaitu sehingga Sukan Olimpik 2016 di Brazil,” jelas Nur Azmi kepada Kosmo! semalam.

“Buat masa ini, beliau masih belum memberitahu keputusan sebenarnya tetapi secara peribadi, berdasarkan apa yang saya kenal tentang dirinya ialah beliau pasti akan meneruskan tanggungjawabnya itu.

“Apa pun, kita perlu bersabar sedikit dengan perkara ini. Berilah dia sedikit ruang dan masa untuk berehat daripada segala tekanan yang dihadapinya ketika ini.”

Selepas gagal dalam misi memenangi satu daripada tiga slot automatik ke Piala Dunia 2014 pada kempen di Johor baru-baru ini, skuad negara kini memiliki peluang terakhir untuk melakukannya pada Piala Asia 2013 yang bakal berlangsung di Ipoh, Perak bermula 24 Ogos hingga 1 September depan.

Khidmat Revington yang dinobat sebagai Jurulatih Terbaik 2011 oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) itu pastinya amat ditagih di Ipoh nanti dalam usaha skuad negara menamatkan kemarau beraksi di pentas dunia tersebut setelah gagal dalam dua edisi terdahulu, 2006 dan 2010.

Sejak membimbing skuad negara, beliau yang juga bekas jurulatih Ireland berjaya membawa transformasi baharu dalam kalangan barisan pemainnya sehingga menyaksikan mereka memenangi tempat keempat Cabaran Juara-Juara I di Argentina serta muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah 2013 di Ipoh, Mac lalu.

“Beliau mungkin kecewa kerana gagal merealisasikan sasaran membawa skuad negara dalam kelompok empat terbaik pada Liga Hoki Dunia baru-baru ini.

“Namun, saya rasa beliau sudah tentu mahu meneruskan misi itu pada Piala Asia 2013 nanti kerana beliau seorang lelaki yang sejati.

“Beliau pasti mahu mencapai sasaran yang diletakkan oleh dirinya sendiri iaitu membawa Malaysia beraksi pada Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik 2016,” tambah Nur Azmi.