MSWP adakan mesyuarat hari ini

MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) akan mengadakan mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas hari ini bagi menyiasat dakwaan atlet bola baling lelaki Wilayah Persekutuan membawa masuk dan minum minuman keras di Perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang baru-baru ini.

Difahamkan, mesyuarat kali pertama itu bakal melibatkan wakil daripada Persatuan Bola Baling Malaysia (PBBM).

"Segala-galanya akan diputuskan esok (hari ini) dan perlu dijelaskan, siasatan itu hanya berkaitan dengan isu disiplin iaitu minum minuman keras.

"Hal melibatkan kes rogol akan diuruskan oleh pihak polis manakala mengenai isu keselamatan yang didakwa longgar di Perkampungan Sukan itu, MSWP akan serahkan perkara tersebut kepada pihak penganjur untuk melakukan siasatan," ujar Pengarah MSWP, Mohd. Hamidi Abu Bakar ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengesahkan MSWP akan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas itu.

Berkenaan kes penggantungan skuad bola baling lelaki Wilayah Persekutuan, Hamidi menjelaskan, pihaknya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menjatuhkan hukuman.

"Penggantungan skuad itu hanya melibatkan aktiviti atau penganjuran daripada MSWP. Bagi program atau aktiviti lain, kita tunggu keputusan yang dibuat selepas siasatan dijalankan," tambahnya.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan seorang pegawai pengiring wanita berusia 19 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling di Perkampungan Sukan tersebut.

Tiga atlet yang dipercayai membawa minuman keras ke dalam Perkampungan Sukan berkenaan telah ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lalu di Perkampungan Sukan di UPM, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.