Hibrid pertama Nissan bakal dilancarkan


HARGA MPV ini dianggarkan bermula RM140,000 seunit


EDARAN Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) baru-baru ini mengadakan satu sesi previu tidak rasmi kenderaan pelbagai guna (MPV) hibrid Nissan Serena Smart Hybrid (S-Hybrid). ETCM ialah pengedar tunggal dan pemasang kenderaan Nissan di Malaysia.

Previu itu dibuat seiring dengan satu produksi video berkonsepkan Temui Hibrid - Keluarga Zaman Baharu, MPV Zaman Baharu. Jentera lapan tempat duduk itu dijadual menemui pelanggan tempatan tidak lama lagi.

Nissan Serena Smart Hybrid (S-Hybrid) merupakan produk MPV hibrid pertama ETCM. Sesi previu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif ETCM untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai MPV S-Hybrid. Pada masa yang sama mencetuskan minat positif menjelang hari pelancarannya.

Nissan Serena S-Hybrid yang dipertonton itu dipasang dengan semua aksesori pilihan yang berkemungkinan besar ditawarkan ETCM. Sekali pandang, model itu menawarkan keselesaan ruang dalaman dengan pelbagai ciri teknologi tinggi.

Sempena tempoh jualan prapelancaran model itu, pembeli awal ditawarkan satu pakej promosi menarik. Ia termasuk insurans kemalangan peribadi pemandu, kadar faedah sewa beli yang rendah dan satu pakej servis percuma.

Maklumat lanjut mengenai model-model Nissan di Malaysia boleh didapati menerusi laman web: www.nissan.com.my.