Indonesia hentikan visa kepada warga Iran

KEVIN Rudd bersalam dengan Susilo sebelum memulakan mesyuarat di Istana Presiden di Bogor, Indonesia 5 Julai lalu.- AP


JAKARTA - Indonesia akan menghentikan pengeluaran visa sewaktu ketibaan kepada warga Iran selepas jumlah mereka yang ditangkap kerana menyeludup dadah atau menggunakan negara ini sebagai transit sebelum mendapatkan suaka di Australia kian meningkat.

Menteri Keadilan dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Amir Syamsuddin dikatakan telah menandatangani satu dekri pada Khamis yang membatalkan pemberian visa sewaktu ketibaan kepada warga Iran yang diamalkan sejak tahun 2005, jelas jurucakap pejabat imigresen, Maryoto Hadi.

Arahan baharu itu akan berkuat kuasa mulai 20 Ogos depan.

"Ramai warga Iran menyalahgunakan kemudahan visa. Mereka bukan datang ke sini untuk melancong, tetapi lebih kepada usaha untuk mendapatkan suaka di Australia dan menyeludup dadah," kata Hadi.

Langkah itu akan mengurangkan pencari suaka yang pergi ke Australia dengan menaiki bot. Hadi bagaimanapun enggan mengulas sama ada keputusan tersebut memenuhi tuntutan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd yang menemui Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono awal bulan lalu.

Indonesia tetap akan mengeluarkan visa kepada warga Iran yang layak selepas memohon di kedutaannya di luar negara.

Republik itu menawarkan visa sewaktu ketibaan kepada lebih 60 buah negara, termasuk Iran untuk melonjakkan sektor pelancongannya.

Pelancong boleh mendapatkan visa sewaktu ketibaan dengan bayaran AS$25 (RM80) di 15 buah lapangan terbang dan 21 pelabuhan seluruh Indonesia. - AP