Suratan takdir Cory Monteith



SEJAK insan yang dikenali di seluruh dunia sebagai Finn Hudson iaitu karakter lakonannya dalam Glee meninggal dunia pada Ahad, 13 Julai lepas, rakan-rakan artis dan para peminat aktor Cory Monteith meluahkan kesedihan masing-masing menerusi Twitter.

Namun, tiada insan yang paling terkesan dengan kematian Monteith seperti yang dialami Lea Michele.

Sebagai tonggak utama Glee, Monteith, 31, dan Lea, 26, cukup sukses dalam merealisasikan karakter pasangan kekasih Finn dan Rachel menerusi drama muzikal bersiri popular itu.

Meskipun mula berkenalan di set penggambaran Glee sejak tahun 2009, Monteith dan Lea ditakdirkan benar-benar bercinta di alam realiti pada November 2011.

Percintaan agung mereka itu sebenarnya mahu diakhiri dengan sebuah perkahwinan dan seterusnya membina sebuah keluarga.

Itu pengakuan sumber rapat Lea secara eksklusif kepada Hollywoodlife.com baru-baru ini. Malangnya, kematian Monteith telah menghancurkan impian Lea.

"Sekarang Lea seperti berada di dalam neraka. Dia sudah merancang masa depannya dengan hidup bersama Cory (Monteith).

"Walaupun Cory belum melamarnya, Lea positif mereka akan berkahwin dan membina keluarga suatu hari nanti," ujar sumber tersebut.

Tambahnya: "Ketika Cory memasuki pusat pemulihan (dadah), Lea dihimpit dilema sama ada mahu meneruskan atau menamatkan hubungan mereka.

"Namun, tekad hati Lea mengatakan dia tidak akan meninggalkan Cory. Lea malah tidak mampu membayangkan bagaimana dia boleh hidup tanpa Cory.

"Sejak Cory keluar dari pusat pemulihan dia kelihatan sihat. Lea fikir Cory sudah pulih. Saya tidak tahu bagaimana Lea menghadapi perkara (kematian) ini."

Di sebalik wajah naif Monteith, dia sebenarnya sudah berdepan dengan dilema ketagihan dadah sejak usia 13 tahun dan enam tahun kemudian dia dimasukkan ke pusat pemulihan.

Pada tahun ini, dia secara sukarela memasuki pusat pemulihan dari 31 Mac hingga 26 April lalu.

Sebuah majalah antarabangsa, Parade, pernah menyifatkan kehidupan Monteith bagaikan diberi peluang kedua dengan kejayaan yang diraihnya dalam Glee.


CINTA sejati. Kematian Cory Monteith menghancurkan harapan dan impian Lea Michele untuk melangkah ke gerbang perkahwinan bersama lelaki itu.


Namun, peluang itu jelas sekali telah disia-siakannya.

Takdir yang tersurat kini menempatkan Monteith sebaris dengan nama-nama popular dalam dunia hiburan seperti mendiang Amy Winehouse, Whitney Houston, Heath Ledger dan Michael Jackson - kesemuanya meninggal dunia dengan cara yang sama iaitu akibat pengambilan dadah dan alkohol secara berlebihan.

Bagi peminat Glee, kematian Monteith itu cukup mendukacitakan kerana bedah siasat pihak berkuasa Kanada menunjukkan kandungan dadah jenis heroin dan alkohol yang tinggi dalam tubuh pelakon itu.

"Hasil bedah siasat yang membabitkan autopsi dan analisis toksikologi mendapati Cory Monteith mati disebabkan keracunan campuran dadah jenis heroin dan alkohol.

"Harus dinyatakan juga, kematiannya tiada hubung kait atau bukti membabitkan kemalangan tragik," lapor badan penyiasatan terkemuka dunia, Perkhidmatan Koroner British Columbia pada Selasa lalu.

Monteith atau nama sebenarnya Cory Allan Michael Monteith dijumpai telah meninggal dunia oleh kakitangan Hotel Fairmont Pacific Rim selepas dia gagal mendaftar keluar dari hotel itu.

Pihak polis Vancouver, Kanada memberitahu, disebabkan kematiannya secara bersendirian di dalam bilik hotel penginapannya itu, tidak akan ada siasatan lanjut untuk mengenal pasti atau memburu pengedar dadah yang membekalkan dadah kepada Monteith.

"Risiko penyalahgunaan dadah secara haram adalah tinggi dan tiada asas yang kukuh untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

"Malangnya campuran alkohol dan heroin boleh menyebabkan organ dalaman gagal berfungsi. Siasatan ini secara rasminya sudah mendapat kata putus," ujar wakil polis, Konstabel Brian Montague.

Monteith dilahirkan di Calgary, dibesarkan di Victoria sebelum berpindah ke Nanaimo dan kemudiannya Vancouver bersama ibunya, Ann McGregor.

Sebelum bergelar pelakon, Monteith pernah menlakukan pelbagai pekerjaan antaranya pemandu teksi, pemandu bas sekolah dan penyambut tetamu.

Selain Glee, Monteith pernah mencuri tumpuan menerusi beberapa watak sampingan dalam filem Deck the Halls, Final Destination 3 dan Urban Legend: Bloody Mary selain membintangi drama bersiri The Cleveland Show, Kyle XY, Smallville, Supernatural, Stargate Atlantis dan Kraken: Tentacles of the Deep.

Mayat Monteith telah dibakar dan disemadikan di Vancouver Selasa lalu. Takziah buat Monteith.