Artis edar juadah buka puasa


PROFESIONAL. Emma Maembong tidak kekok mengedarkan juadah raya kepada pemandu kereta.


SEMPENA bulan Ramadan yang mulia ini, golongan artis buat kali kedua turun padang mengedarkan 300 bungkus juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya di hadapan bangunan PNB Darby Park, Kuala Lumpur.

Antara artis popular yang terlibat ialah Fahrin Ahmad, Julia Ziegler, Irma Hasmie, Bob AF, Amran Ismail dan Emma Maembong.

Menurut Pemangku Penolong Pengurus Eksekutif PNB Darby Park, Yatie Omar, program amal itu diadakan bagi menyemai semangat saling membantu antara sesama insan.

"Usaha ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pemandu yang tidak sempat sampai ke destinasi mereka untuk berbuka puasa akibat kesesakan lalu lintas.

"Ia adalah sumbangan kecil daripada keluarga PNB Darby Park untuk orang ramai. Kami berharap dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat pada masa akan datang," ujarnya.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pemasaran PNB Darby Park, Farizan Farees.

Sementara itu, menurut pelakon cantik Emma Maembong, dia yang pertama kali terlibat dalam program amal itu berasa teruja dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

"Ini pengalaman baharu buat saya apabila berpeluang mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya. Terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila menerima juadah tersebut," jelasnya.


YATIE (tiga dari kiri) dan Farizan (tengah) pada program pengedaran juadah berbuka puasa di hadapan bangunan PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Dalam pada itu, jelas Yatie, sempena Ramadan tahun ini, PNB Darby Park menerusi dua restorannya, iaitu The 39 Restaurant dan 10Binjai sekali lagi menghidangkan 100 jenis juadah terbaik untuk dinikmati pengunjung.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 100 juadah berkonsepkan tradisional dan moden disajikan di The 39 Restaurant.

"Antara juadah yang sentiasa dinantikan ialah kari kepala ikan, nasi minyak, siakap tiga rasa, beriani kambing dan ketam tiga rasa yang boleh dinikmati pada harga RM99++ untuk dewasa sementara kanak-kanak RM49++. Anda boleh menghubungi nombor 03-7490 3838 untuk tempahan.

"Selain itu, sekiranya anda menggemari suasana restoran yang lebih kasual dan kontemporari, boleh ke restoran 10Binjai.

"Antara juadah yang disediakan di situ adalah shawarma, nasi arab, sup gear box, roti john dan lain-lain.

"Juadah tersebut boleh dinikmati pada harga RM79++ untuk dewasa manakala RM39++ untuk kanak-kanak. Sebarang tempahan boleh dibuat menerusi 03-7490 3838," ujarnya lagi.